Isu mengenai menteri Parlimen tidak perlu timbul - Shahidan
Bernama
Mei 20, 2015 07:45 MYT
Mei 20, 2015 07:45 MYT
Isu mengenai pemisahan kuasa membabitkan jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menjaga hal ehwal Parlimen tidak perlu dibangkitkan.
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata ini kerana Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara sememangnya menjalankan fungsi dengan bebas tanpa sebarang gangguan dalam menguruskan persidangan Parlimen.
"Tiada sebarang gangguan dari mana-mana pihak termasuk dari saya sendiri dalam pengurusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
"Saya sebagai menteri yang bertanggungjawab hanya membawa usul kerajaan untuk dibahaskan dalam Dewan Rakyat.
"Hal-hal pentadbiran di Parlimen diuruskan oleh Ketua Pentadbir Parlimen," katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan di lobi Parlimen, pada Rabu.
Beliau mengulas cadangan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada Selasa agar jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen ditiadakan untuk menghilangkan persepsi rakyat bahawa institusi Parlimen dan Speaker bertugas bagi pihak kerajaan.
Shahidan yang juga anggota Parlimen Arau berkata Parlimen sebagai sebuah institusi penting dalam mengawal dan menentukan penubuhan Kerajaan Persekutuan maka ia mendapat perhatian khusus dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Sehubungan itu, perdana menteri telah membuat keputusan untuk meletakkan seorang menteri dengan portfolio khusus untuk memantau perjalanan Parlimen.
"Menteri berkenaan tidak campurtangan dan (tidak) mengganggu kuasa-kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat," jelasnya.