IPOH: Isu mengenai kalimah Allah tidak seharusnya dijadikan polemik kerana ia tidak melibatkan sebarang perubahan dasar mengenai penggunaannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia masih mengikut dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu.

Katanya, dasar itu cukup jelas, di Semenanjung Malaysia, orang bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah manakala di Sabah dan Sarawak dibenarkan dengan syarat-syarat tertentu. 

"Ini keputusan mufti-mufti, keputusan Raja-Raja Melayu, tiada perubahan. Jadi yang heboh ini apa dia? Heboh ini kerana bantahan daripada seorang di Sarawak kerana Sarawak dan Sabah membolehkan dengan syarat-syarat tertentu. Dengan cop untuk Kristian saja kerana ada beberapa suku kaum di Sarawak yang memang menggunakan perkataan itu sudah beratus tahun.

"Tak apalah setuju tak setuju tapi ini keputusan lama yang dipakai oleh kerajaan dulu-dulu pun, dari Barisan Nasional ke Perikatan Nasional, daripada UMNO ke Pas ke Bersatu sampailah sekarang,  itulah dasarnya," katanya.

Beliau berucap pada majlis ramah mesra bersama Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau Parlimen Tambun di Institut Tadbiran Islam (INTIM) Perak di Ipoh pada Khamis.

Jelasnya, jemaah menteri pada Rabu telah membuat ketetapan untuk memperkemaskan lagi pelaksanaan dasar itu kerana terdapat beberapa aspek yang longgar dan kurang jelas.

Katanya, Yang Dipertuan Agong telah berkenan agar perkara tersebut dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.

Beliau turut menangkis tohmahan kononnya beliau seorang yang liberal, tunduk kepada DAP dan ingin merosakkan akidah umat Islam.

Ahad lalu, media melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah 'Allah' dan tiga perkataan Arab yang lain- 'Baitullah', 'Kaabah' dan 'solat' dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.
 
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.
 
Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.