Isu Menara KL: Annuar Musa ambil tindakan undang-undang terhadap 3 individu

Madiha Abdullah
Januari 3, 2023 18:00 MYT
Annuar berkata beberapa hantaran di media sosial telah menjejaskan imej dan reputasinya. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga individu yang didakwa memfitnahnya berhubung dakwaan penjualan Menara Kuala Lumpur.
Annuar yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, beberapa hantaran di media sosial telah menjejaskan imej dan reputasinya walaupun sebelum ini beliau sudah membuat kenyataan tidak terlibat dalam urusan itu.
"Selepas merujuk perkara terbabit serta meneliti secara mendalam bersama peguam, saya tiada pilihan melainkan mengarahkan peguam mengambil tindakan menurut jalur undang-undang terhadap tiga individu.
"Ada juga yang membuat 'posting' (hantaran) tanpa mengemukakan identiti sebenar mereka dan pihak saya akan cuba untuk mengenal pasti mereka," katanya.
Beliau berkata terdapat beberapa kenyataan mengelirukan yang dikeluarkan beberapa pihak sejak penjualan saham membabitkan pengurusan Menara KL oleh anak syarikat Telekom Malaysia (TM), Menara KL Sdn Bhd (MKLSB), menjadi isu.
"Setiap perkara berbangkit, terutama yang membabitkan kepentingan rakyat dan negara perlulah disiasat dengan teliti oleh pihak berwajib.
"Semua pihak perlu memberikan kerjasama serta tidak mengganggu penyiasatan dengan menyebarkan fitnah dan berita palsu," katanya.

Sejak tercetus polimik berhubung MENARA KL yang kononnya dijual senyap-senyap oleh TM, telah tersiar pelbagai kenyataan yang mengelirukan. (1/5)

— Annuar Musa (@AnnuarMusa) January 3, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Media sosial baru-baru ini heboh dengan isu penjualan konsesi Menara KL, yang didakwa beberapa pihak dilakukan secara tidak telus.
Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil tiga saksi bagi membantu siasatan, selain turut mendapatkan beberapa dokumen berkaitan untuk membantu siasatannya.
Menara itu dimiliki kerajaan, manakala operasi dan pengurusannya diserahkan kepada MKL, anak syarikat TM sejak 1996.
#Annuar Musa #Menara KL #media sosial #saman fitnah
;