Isu MB Terengganu: Polis akan panggil beberapa individu untuk rakam keterangan

Astro Awani
Jun 9, 2021 14:16 MYT
Polis sudah membuka kertas siasatan dan akan merakam percakapan dalam masa terdekat dan siasatan lanjut berhubung laporan sebuah portal mengenai kedudukan Datuk Seri Samsuri Mokhtar sedang dilakukan. - Gambar fail
KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu akan memanggil dan merakam keterangan beberapa individu susulan laporan yang dibuat Setiausaha Politik Menteri Besar berhubung artikel yang disiarkan sebuah portal mengaitkan pemimpin itu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, susulan laporan itu, satu kertas siasatan telah dibuka.
Menurut Rohaimi, pihaknya akan merakam percakapan dalam masa terdekat dan siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dilakukan.
“Kita buka siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan di bawah Akta Komunikasi iaitu Akta 233, tapi terlalu awal untuk menceritakan mengenai perkembangan ini… kita akan panggil (siasatan) benda itu (laporan) baru berlaku semalam jadi kita akan panggil (beberapa individu),” kata beliau pada Rabu.
Pada Selasa, Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhyiddin Abdul Rashid membuat laporan polis berhubung artikel yang disiarkan sebuah portal yang disifatkan sebagai fitnah dan tidak betul.
Jelas Muhyiddin, kandungan laporan bertajuk ‘MB Terengganu tergugat, borang aku janji berkanun kini tersebar’ itu berniat jahat terhadap kredibiliti Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Portal berkenaan melaporkan kedudukan Ahmad Samsuri kini tersepit antara masalahnya dengan pihak istana dan juga usaha pimpinan lain dalam Pas untuk mengambil alih tempat beliau.
Satu borang “surat akuan berkanun” sudah disediakan untuk membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu menandatanganinya bagi menyatakan kesediaan mereka menolak Ahmad Samsuri sebagai Menteri Besar.
Surat akuan berkenaan didakwa disediakan untuk ADUN kedua-dua parti sama ada dari Pas yang mempunyai 22 ADUN ataupun umno yang mempunyai 10 wakil rakyat.
#MB Terengganu #Menteri Besar Terengganu #Ahmad Samsuri Mokhtar #laporan polis #kedudukan MB Terengganu tergugat #PAS #Pas Terengganu #ADUN #UMNO
;