Isu MB Selangor: UMNO Selangor ikut cakap 'boss' - Noh

Wan Syamsul Amly
Ogos 11, 2014 20:51 MYT
Isu Abdul Khalid: UMNO Selangor ikut cakap 'boss' - Gambar fail
"Kita akur keputusan menyokong yang dikeluarkan pucuk pimpinan parti dalam isu Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim."
Itu kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar ketika ditanya keputusan UMNO Negeri terhadap keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memberi perkenan agar Abdul Khalid mengekalkan tugas sebagai MB.
Ujar Noh, keputusan itu diambil selari kenyataan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memutuskan untuk mengalu-alukan pengumuman Abdul Khalid untuk terus berkhidmat kepada Selangor.
Noh berkata demikian ketika dihubungi Astro AWANI selepas mesyuarat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) pada petang Isnin di Shah Alam.
Ujarnya, UMNO Selangor sentiasa menurut perintah pucuk pimpinan tertinggi dan tidak ingkar arahan parti seperti dilakukan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dipecat pada tahun 1998.
"Hal pemecatan bukan urusan UMNO, mengikut undang-undang Abdul Khalid masih menjadi MB Selangor.
"Semua sedia maklum, untuk menjadi MB seseorang itu perlu mendapat sokongan ADUN, bagaimanapun ia tidak tertakluk seseorang itu mewakili parti yang mana satu," jelasnya.
Muhyiddin pada petang Isnin menjelaskan, kesinambungan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar adalah sangat penting demi kebajikan rakyat Selangor.
Katanya, sebagai contoh, dalam usaha mengatasi masalah air di Selangor, Kerajaan Pusat memerlukan pemimpin yang boleh memastikan kelancaran pelaksanaan projek yang telah dipersetujui sebelum ini.
Muhyiddin turut mengakui telah menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang berada di luar negara tadi untuk mendapatkan hala tuju BN mengenai isu MB Selangor.
#ADUN #disiplin #Keadilan #Khalid #Noh #PKR #PR #Selangor #Sultan
;