Isu MB Selangor: Pakatan Rakyat jangan peralat rakyat
Wan Syamsul Amly
Julai 28, 2014 13:11 MYT
Julai 28, 2014 13:11 MYT
Isu perebutan kerusi menteri besar di Selangor disifatkan permainan politik Pakatan Rakyat (PR) yang hanya menyusahkan rakyat di negeri itu.
Tambahan, sikap berdiam diri DAP selain kelantangan PAS pada masa sama dilihat bermotif kepentingan politik parti masing-masing sekali gus menunjukkan tiada kesepakatan sesama mereka.
Beberapa pimpinan UMNO Selangor mahu PR menyelesaikan pelbagai isu rakyat di negeri itu sebelum mengheret rakyat ke dalam isu menteri besar yang sengaja dicipta.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, PAS terutamanya harus berpegang teguh dengan satu pendirian bersama kepimpinan parti mereka.
"PAS respon dari sudut bukan keseluruhan, tiada kesepakatan di antara pemimpin mereka, pendapat parti mereka boleh nafikan dan anggap pendapat peribadi.
"DAP pula berdiam diri seolah-olah ada strategi. Kita nampak mereka mahu menangguk di air keruh. Mereka ada perancangan sendiri. Mungkin DAP mahu cadangkan ada jawatan timbalan menteri besar," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini.
Sebelum ini, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap kenyataan Presiden partinya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bertegas mahukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai menteri besar Selangor.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata kenyataan Abdul Hadi itu dilihat bukan keputusan rasmi parti itu.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim mahu PR menyelesaikan masalah rakyat sebelum mengalih perhatian kepada isu menteri besar.
"Masalah denggi, air, jalan raya dan banyak lagi belum selesai. Ini tambah pula masalah peribadi sesama mereka.
"Fokus mereka berubah sama sekali, mana janji manifesto dan menyelamat rakyat yang dilaung selama ini?," ujarnya.
Ketua Bahagian UMNO Shah Alam, Azhari Shaari berkata, isu ini hanya sandiwara Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ini semua drama Anwar, pusing-pusing sama sahaja...akhirnya nanti semua akan sokong Khalid. Anwar akan kemudiannya berkata bahawa ini adalah kemahuan rakyat dan akan meminta maaf.
"Jika Anwar berani, dia perlu umumkan Azizah sebagai menteri besar dalam satu majlis yang dihadiri semua media," katanya.
Lain pula pendapat Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo yang tidak percaya ada pertemuan di antara pemimpin PR sebelum ini.
Tegasnya, seandainya ada mesyuarat, kenyataan bercanggah dari PAS tidak akan timbul.
"Kita tanya juga adakah benar berlaku perbincangan untuk tentukan siapa menteri besar, andai benar ada perbincangan, pasti ada kesepakatan, situasi sekarang seperti sengaja dibuat. Saya yakin tiada keputusan dibuat kerana tidak ada pertemuan pun yang dibuat," jelasnya.
Sementara itu, ahli MT UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, PR tidak harus bertelaga pada saat negara sedang bersedih dengan isu MH17.
"Krisis kepimpinan ini harus ditolak ke tepi, pada saat dunia dan negara sedang bersedih kerana MH17. Mereka boleh pula bergaduh dalam isu merebut satu kerusi," ujarnya.
Ketika ditanya apakah kemungkinan berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), ini katanya;
"Jika menteri besar sekarang merasakan sudah dianiaya dan hilang keyakinan kepada parti, sila bubarkan DUN dan kita tengok mandat rakyat."
Pada Ahad, Anwar berkata, peralihan jawatan Menteri Besar Selangor adalah kesinambungan 'Langkah Kajang' yang diputuskan secara muktamad oleh pimpinan keadilan sejak 15 Januari lepas.