Isu MB Selangor: Akar umbi KEADILAN sokong Wan Azizah jadi MB

Astro Awani
Julai 31, 2014 07:53 MYT
Isu MB Selangor: Akar umbi KEADILAN sokong Wan Azizah jadi MB - Gambar fail
Ketua-Ketua Cabang KEADILAN Selangor serta anggota-anggotanya mengumumkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut kenyataan media KEADILAN, Wan Azizah dilihat calon paling layak di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) KEADILAN di Selangor untuk menjadi menteri besar (MB).
"Oleh yang demikian, kami menyeru agar semua anggota KEADILAN termasuklah ADUN dan Exco dalam pentadbiran Selangor pada waktu ini untuk mengenepikan perbezaan pendapat serta bersatu hati dalam menyokong ketetapan Majlis Pimpinan Pusat pada 21hb Julai lalu yang menamakan Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor.
"Pada masa yang sama, kami menggesa parti terutamanya pimpinan tertinggi untuk mendengar suara akar umbi yang sudah jelak dengan permainan politik ala-UMNO yang dimainkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim," jelas kenyataan itu.
Tambah kenyatan itu, tindakan Abdul Khalid akhir-akhir ini jelas membelakangkan pendirian dan ketetapan Majlis Pimpinan Pusat dan pimpinan tertinggi KEADILAN dan Pakatan Rakyat.
"Malah pelawaan Abdul Khalid agar ADUN Pakatan Rakyat membuat undi tidak percaya terhadapnya cukup memalukan.
"Oleh itu, kami mewakili suara akar umbi menggesa parti dan pimpinan tertinggi untuk mengenakan tindakan disiplin terhadapnya," ujar kenyataan itu.
Bagaimanapun, majoriti pembaca Astro AWANI ingin melihat Abdul Khalid dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor susulan dilema politik yang melanda Pakatan Rakyat.
Menurut undian yang dijalankan oleh Astro AWANI pada Isnin, sebanyak 62.42 peratus orang mahu Abdul Khalid dikekalkan.
Manakala sebanyak 9.11 peratus mahu Wan Azizah menjadi MB Selangor.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad pula, mendapat sebanyak 4.64 peratus undian manakala timbalan presiden PKR Mohd Azmin Ali hanya mendapat undian sebanyak 4.34 peratus sebagai pilihan untuk menjadi MB Selangor.
Sementara itu, sebanyak 19.49 peratus tidak ingin keempat-empat orang tersebut untuk menjadi MB Selangor.
#abdul khalid #Azmin #MB #Menteri Besar #Selangor #Wan Azizah
;