Isu MB : Konsensus vs pilihan hati Anwar?

Wan Syamsul Amly
Julai 20, 2014 15:44 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tidak berpuas hari dengan cadangan nama ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali seperti yang dicadangkan MPN untuk menjadi MB Selangor yang baharu.
P‎enasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tidak berpuas hati dengan cadangan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali yang dicadangkan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.
Ia susulan ‎‎notis memanggil mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Khas pada Isnin dipercayai rentetan pertemuan Anwar bersama MPN Selangor‎ pada Jumaat lepas. ‎
Menurut sumber, ‎ia selaras Fasal 23 (1)(a) Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat yang memberikan kuasa memutuskan calon-calon bagi jawatan-jawatan politik di peringkat Persekutuan dan menggubal peraturan atau garis panduan bagi pelantikan politik di peringkat Negeri.
‎"Anwar dalam kenyataannya semalam masih menggambarkan kecenderungannya untuk memilih Azizah sebagai MB yang baru.‎
"Ia ‎sekali gus tidak selari dengan cadangan konsensus yang mahukan Azmin menggantikan Abdul Khalid sebagai MB," ujarnya.
Sebelum ini, MPN Selangor mencadangkan ‎nama Azmin sebagai MB Selangor berdasarkan senioritinya di Dewan Negeri Selangor sejak 1999 selain pengalaman dalam Kerajaan dan juga pembangkang serta kesetiaan yang teruji.
Jelas sumber itu lagi, mesyuarat khas pada malam Isnin itu turut menjemput ‎semua ADUN PKR Selangor.
"Mereka perlu mengesahkan penerimaan notis dan kehadiran pada malam esok.
"Notis dihantar Setiausaha Ibu Pejabat PKR pada awal pagi tadi," katanya.‎ ‎ Pada Isnin, teka-teki status Azmin untuk 'naik' menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu hampir terjawab selepas PAS dan DAP memberi persetujuan terhadap perlantikannya dalam satu pertemuan tertutup PR.‎
Bagaimanapun pada Rabu, Abdul Khalid bertegas tidak mahu jawatannya diganggu-gugat sesiapa dan mahu kekal sehingga akhir penggal pentadbirannya.
Kemelut itu turut melihat Anwar yang dilihat cenderung untuk meletakkan isterinya sekali gus Presiden PKR dan ADUN Kajang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Abdul Khalid.‎
‎Sebelum ini, Abdul Khalid juga menyatakan tidak akan bimbang apa-apa jika adanya usul undi tidak percaya daripada ADUN PR sendiri untuk 'menjatuhkannya'.
Abdul Khalid turut dikatakan akan melepaskan jawatannya selepas hari raya atau selewat-lewatnya September depan.
Ia dikatakan usaha susulan pihak tertentu yang mahu menjatuhkan Abdul Khalid selepas kegagalan strategi 'langkah Kajang'‎ sebelum ini.
#abdul khalid #Anwar Ibrahim #Azizah #Azmin Ali #MB Selangor #MPN
;