Isu Mara: 5 pegawai kanan dipanggil SPRM esok
Umavathi Ramayah
Februari 10, 2022 18:44 MYT
Februari 10, 2022 18:44 MYT
KUALA LUMPUR: Lima pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang didakwa terlibat dalam isu integriti dan salah guna kuasa akan dipanggil untuk dirakam percakapan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), esok.
Sumber memberitahu, setakat ini, SPRM telah mengambil beberapa dokumen berkaitan siasatan termasuk kertas cadangan dan minit mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) serta Exco.
Selain itu, turut diambil adalah dokumen kewangan dan gaji, dokumen berkaitan pengurusan pekerja, surat anugerah (LOA) dan prosedur operasi standard (SOP).
Difahamkan selain lima pegawai kanan itu, 12 lagi saksi termasuk masing-masing empat BOD Mara Corp dan kakitangan Mara, tiga pegawai bank dan seorang pegawai dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan dipanggil.
Namun demikian tidak dapat dipastikan bila saksi-saksi ini akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Setakat Khamis, SPRM sudah memanggil 14 saksi termasuk empat BOD Corp dan tujuh kakitangan pengurusan Mara Corp.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu, pihaknya tidak menerima laporan mengenai salah laku membabitkan Pengarah Eksekutif Mara Corp Datuk Suhaili Abdul Rahman yang didakwa menggunakan kad kredit korporat syarikat itu.
Sebaliknya beliau berkata setakat ini, siasatan SPRM hanya mengenai isu salah laku dan integriti melibatkan pegawai kanan Mara dan Mara Corp.
Pada Sabtu lepas, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.