Isu mak nyah: Shafee wajar jadi pemerhati, bukan wakil kerajaan negeri - Yusmadi
Irwan Muhammad Zain
Disember 13, 2014 16:29 MYT
Disember 13, 2014 16:29 MYT
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah disarankan agar hanya menjadi pemerhati dalam kes rayuan kerajaan Negeri Sembilan terhadap keputusan mahkamah dalam isu mak nyah.
Pengasas RIGHTS Foundation, Yusmadi Yusoff berkata sebagai wakil Malaysia bagi Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) tahun depan, Shafee wajar tidak menjadi peguam bagi pihak kerajaan Negeri Sembilan.
"Untuk kes ini adalah lebih wajar bagi beliau, dengan kedudukannya, untuk menjadi pemerhati, dan melaporkan kepada Sekretariat Asean di Jakarta mengenai situasi Hak Asasi Manusia di Malaysia," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Bulan lalu Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri akan mendapatkan khidmat peguam dalam cubaannya mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan transgender beragama Islam dengan kecelaruan identiti berpakaian wanita.
“Kita akan mendapatkan peguam terbaik untuk mewakili kami kerana ini adalah perkara yang sangat penting,” katanya.
Di Mahkamah Rayuan, pihak berkuasa agama negeri itu diwakili penasihat undang-undang negeri itu Iskandar Ali Dewa dan pembantunya Muhammad Fairuz Iskandar.
The Malaysian Insider dalam laporannya semalam mendedahkan Shafee akan mewakili kerajaan Negeri Sembilan untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan mahkamah rayuan menyatakan enakmen syariah negeri tidak mengikut Perlembagaan apabila menghukum tiga lelaki kerana berpakaian wanita.
Dalam laporan tersebut, portal itu mendakwa ditunjukkan dokumen mahkamah yang mendedahkan perkara tersebut.
Peguam Aston Paiva, yang mewakili 3 transgender itu juga dilaporkan mengesahkan Shafee akan bertindak sebagai peguam pihak lawan dalam kes itu di Mahkamah Persekutuan.
“Beliau akan mengemukakan usul di hadapan Mahkamah Persekutuan bagi pihak kerajaan negeri untuk mendapatkan kebenaran,” Paive dipetik sebagai berkata oleh The Malaysian Insider.