Isu loji air: Kerajaan negeri sedia beri kerjasama kepada SPRM - Ahmad Bashah

Bernama
Ogos 14, 2016 19:26 MYT
AHMAD BASHAH: "Kita kena tengok dahulu kesahihan dakwaan ini kerana mereka (PAS) baru buat tuduhan. - Gambar fail
Kerajaan negeri sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan Dewan Pemuda PAS negeri mengenai penyelewengan dalam projek naik taraf loji rawatan air di Kuala Nerang.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata kerajaan negeri buat masa ini akan menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada SPRM dan akan memberi kerjasama sekiranya diperlukan.
"Sekarang, kita serahkan kepada SPRM untuk buat siasatan. Sekiranya mereka perlu apa-apa, kita akan beri kerjasama dan kerajaan negeri sama sekali tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat sekiranya didapati bersalah.
"Kita kena tengok dahulu kesahihan dakwaan ini kerana mereka (PAS) baru buat tuduhan. Sekiranya betul, SPRM boleh buat siasatan dan mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat tanpa perlu menyuruh individu terbabit untuk tampil ke depan," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang di sini hari ini.
Sebelum ini, Dewan Pemuda PAS yang diwakili Ketua Pemuda PAS negeri Mohd Azam Abd Samat membuat laporan meminta SPRM, menjalankan siasatan berhubung penyelewengan projek naik taraf loji air di Kampung Mani, Kuala Nerang.
#Ahmad Bashah #loji rawatan air di Kuala Nerang #Menteri Besar Kedah #Rasuah
;