Isu LGBT: Kerajaan perlu atasi dengan berhemah, elak kekerasan - Syed Saddiq

Hilmi Malik
Disember 14, 2021 22:52 MYT
Pengasas MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, menggunakan kaedah kekerasan hanya akan memberikan kesan yang lebih buruk kepada komuniti tersebut. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Kerajaan perlu mengambil pendekatan yang lebih berhemah dalam mengatasi isu LGBT di negara ini berbanding terus menghukum golongan berkenaan.
Pengasas MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, menggunakan kaedah kekerasan hanya akan mendatangkan kesan yang lebih buruk bahkan sukar untuk mengatasi isu terbabit.
“Mereka (golongan LGBT) hanya inginkan kehidupan yang bermaruah dan inginkan akses kepada peluang pekerjaan yang lebih serta tidak wujud diskriminasi.
“Jika kita terus meletekkan diskriminasi terhadap golongan LGBT, mengasingkan kelompok itu daripada masyarakat maka ianya hanya menjadikan mereka bertindak lebih buruk,” katanya menerusi temu bual Critical Conversations pada Selasa.
Tambahnya lagi, kaedah seumpama itu juga bukan satu perkara yang diterapkan dalam ajaran agama yang terus menghukum seseorang individu.
Mengambil contoh, Syed Saddiq turut memuji tindakan bekas Mufti Wilayah, Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mengambil pendekatan untuk berbincang bersama golongan tersebut.
Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai isu negara berdepan dengan kes membabitkan usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebaga Nur Sajat yang telah melarikan diri ke negara luar.
#usahawan kosmetik #Syed Saddiq #LGBT #kerajaan #Sajat
;