Isu lepaskan suspek Macau Scam: 8 individu ditahan termasuk pegawai polis, imigresen

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 15, 2021 16:40 MYT
SAHABUDIN: Kita kesal pada kejadian ini dan kita arahkan siasatan dijalankan dan akan pastikan siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh. - Astro AWANI
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang telah menahan lapan individu terdiri daripada pegawai polis, seorang kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta orang awam bagi membantu siasatan kes melepaskan suspek Macau Scam warga China di Pulau Pinang.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, pihaknya sedang menganalisis data siasatan membabitkan empat pegawainya yang terlibat dalam kes melepaskan suspek Macau Scam.
Katanya, empat pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut yang berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan inspektor telah ditahan pada 12 Februari dan 15 Februari lalu.
Sahabudin berkata, beliau kecewa dengan perbuatan anggotanya yang tidak amanah dalam menjalankan tugas apabila melepaskan suspek sindiket berkenaan.
"Pegawai yang ditahan ini berpangkat inspektor dan ASP dan empat orang awam, siasatan hampir selesai dan kita tunggu beberapa laporan dari jabatan luar untuk lengkapkan siasatan dan selepas itu kita akan rujuk ke DPP dan dari situ kita baru akan tahu siapa yang akan dituduh dan siapa yang akan jadi saksi.
"Kita kesal pada kejadian ini dan kita arahkan siasatan dijalankan dan kita akan pastikan siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh," ujar Sahabudin.
Kesemua mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan pihaknya memberi jaminan untuk menjalankan siasatan kes tersebut dengan telus dan terperinci.
Bagaimanapun Sahabudin berkata, pihaknya mencadangkan supaya pegawai yang terbabit itu ditukarkan ke jabatan lain dan pihaknya kini menunggu jawapan pertukaran daripada pihak Bukit Aman.
Sahabudin berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di George Town pada Isnin.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini mengesahkan pegawainya terbabit dalam kes melepaskan suspek Macau Scam warga China di Pulau Pinang.
Siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mendapati wujud kesalahan dalam kes itu.
#pegawai polis #Imigresen #lepaskan suspek #Macau Scam #polis pulau pinang #PDRM #Sahabudin Abd Manan
;