Isu LCS: 'Siapa dalang kelewatan? Satu lagi dokumen rahsia bakal didedahkan' - Asyraf Wajdi

Astro Awani
Ogos 19, 2022 07:45 MYT
Satu lagi dokumen rahsia mengenai penyelewengan kapal tempur pesisir (LCS) bakal didedahkan kepada rakyat. Gambar kecil: Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR: Sebuah lagi dokumen rahsia mengenai penyelewengan kapal tempur pesisir (LCS) bakal didedahkan dalam masa terdekat, kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau memaklumkan, dokumen laporan forensik audit mengenai kelewatan perolehan kapal berkenaan akan didedahkan selepas mendapat arahan daripada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenainya.
"Menurut Datuk Seri Hishammuddin, beliau telah mengarahkan pihak Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) menyahklasifikasikan satu lagi dokumen rahsia untuk membolehkan satu lagi laporan dikongsikan kepada rakyat iaitu dokumen Laporan Forensik Audit Mengenai Kelewatan Kapal LCS.
"Laporan tersebut akan menjelaskan lagi aspek dan dalang penyelewengan dan korupsi yang berlaku," katanya dalam hantaran di Facebooknya, di sini, pada Jumaat.
Asyraf berkata, beliau mengetahui maklumat tersebut sejurus selesai mesyuarat Barisan Nasional (BN) di Johor Bahru pada Jumaat.
"Siapa agaknya yang menangguk di air yang keruh dan menjadi dalang kepada kelewatan ini? Kita tunggu pendedahan Laporan Forensik Audit ini," ujarnya.
Sebelum ini, laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) menyahklasifikasikan laporan audit forensik mengenai projek pembinaan kapal tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merupakan antara komitmen dan jaminan kerajaan tentang siasatan telus, tanpa melindungi sesiapa pun.
#Asyraf Wajdi Dusuki #Hishammuddin Hussein #LCS #penyelewengan kapal tempur pesisir
;