Isu LCS: Pemimpin PKR buat laporan SPRM

Astro Awani
September 6, 2022 17:16 MYT
Menurut Akmal, laporan itu dibuat bagi mengembalikan tumpuan terhadap skandal projek berjumlah RM9 bilion itu. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bersama beberapa pemimpin PKR yang lain membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek kapal pesisir (LCS) hari ini.
Akmal memaklumkan laporan itu dibuat bagi menggesa siasatan terhadap dakwaan penglibatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dalam projek tersebut.
Menurut Akmal, laporan itu dibuat bagi mengembalikan tumpuan terhadap skandal projek berjumlah RM9 bilion itu.
"Dalam isu money trail, jejak wang itu memang perlu dilakukan. Kalau dilihat dari segi pentadbiran atau pun bagaimana wang itu disalurkan keluar.
"Wang kerajaan itu disalurkan keluar bukan hanya ke syarikat yang tidak sah tetapi syarikat itu berdaftar di luar negara.
"Maksudnya berlaku aliran wang kerajaan secara haram yang masuk ke syarikat fake yang ada kaitan dengan Zainab Mohd Salleh," katanya pada satu sidang media selepas laporan di ibu pejabat SPRM di sini, pada Selasa.
Akmal menegaskan Zainab Mohd Salleh, yang didakwa sebagai individu di belakang dua syarikat luar pesisir yang dikaitkan dengan projek LCS, perlu menjadi tumpuan utama siasatan.
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli mendakwa Zainab adalah isteri kedua Abdul Latiff namun Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu menafikan dakwaan itu.
Menurut Akmal lagi, laporan SPRM yang dibuat itu bukanlah tindak balas selepas Rafizi dipanggil memberi keterangan kepada polis pada Sabtu lalu.
Dia menyifatkan Zainab sama seperti ahli perniagaan Low Taek Jho yang dikaitkan dalam skandal 1MDB.
#Akmal Nasir #PKR #Mohd Rafizi Ramli #SPRM #Abdul Latiff Ahmad #LCS #projek
;