Isu LCS: Pelancaran, penamaan kapal belum siap adalah tradisi TLDM - Ahmad Kamarulzaman
Firdaus Azil
Ogos 10, 2022 15:24 MYT
Ogos 10, 2022 15:24 MYT
KUALA LUMPUR: Pelancaran dan penamaan sesebuah kapal perang sebelum ia disiapkan sepenuhnya merupakan tradisi dan praktis Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekian lama, kata mantan Panglima Tentera Laut Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Katanya lagi, beliau terpanggil untuk membetulkan persepsi negatif bagi melindungi maruah dan nama TLDM yang beliau sayangi.
Kata Ahmad Kamarulzaman lagi, penting baginya untuk memberitahu fakta sebenar supaya orang awam tidak terus terkeliru akibat kenyataan sesetengah pihak yang beliau anggap sebagai populis dan politiking.
“Pelancaran dan penamaan sesebuah kapal perang sebelum ia siap sepenuhnya merupakan tradisi dan praktis TLDM sekian lama. Bukan pertama kali di Lumut pada tahun 2017. Malah ini juga amalan biasa di negara-negara lain.
“Sebagai contoh praktis di negara lain – semasa pelancaran Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang dibina oleh Naval Group untuk Kerajaan UAE di Perancis – kapal tersebut juga belum siap sepenuhnya,” katanya lagi.
Ahmad Kamarulzaman berkata demikian sebagai respons kepada komen orang awam – kononnya pelancaran kapal tersebut dilihat cubaan menipu tetamu kenamaan ketika itu iaitu Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Mengulas lanjut, beliau berkata perkara tersebut juga telah diterangkan Ketua Pengarah Pasukan Projek LCS TLDM yang pertama, Kapten (B) Ir Azhar Jumaat dalam sesi menghadap Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 11 Disember 2021.
“Daripada segi tradisi, we call launching dengan naming ini hanya melibatkan satu aktiviti tradisi yang melibatkan kapal-kapal perang sahaja. Justeru, untuk aktiviti launching dan naming itu, daripada segi tradisi itu, memang ia dipraktikkan sebelum ini juga.
“Mengambil peluang launching daripada segi kejuruteraan teknikal ini dan juga dilaksanakan secara bersama dipanggil upacara penamaan itu, Yang Berhormat. Ia adalah memang satu tradisi navy yang telah dilaksanakan sejak yang lepas-lepas,” kata Azhar seperti dipetik dalam laporan PAC tersebut.
Sehubungan itu, Ahmad Kamarulzaman menegaskan dakwaan bahawa pelancaran tersebut di Lumut pada 2017 bertujuan untuk menipu dan mengelirukan orang ramai adalah tidak benar sama sekali.
Katanya lagi, kapal yang dilancarkan ketika itu merupakan kapal LCS 1 yang sebenar, termasuk ‘mast’ yang kononnya dikhabarkan sebagai palsu.
“Semua ini turut dijelaskan semasa sesi PAC sebelum ini. Jadi janganlah ada pihak sengaja timbulkan isu demi kepentingan sendiri sehingga sanggup kelirukan orang ramai,” katanya lagi.