Isu LCS: 'Jangan beri alasan siasatan belum beres' - Anwar

Sinar Harian
Ogos 9, 2022 07:15 MYT
ANWAR: Mengapa perolehan terbesar dalam Kementerian Pertahanan negara bernilai RM9 bilion, tidak ada tender? Dan siapa yang putuskan? -Foto Sinar Harian
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein perlu tampil memberi penjelasan berhubung skandal projek kapal tempur pesisir (LCS) yang hangat diperkatakan pada masa kini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia berikutan projek tersebut merupakan satu masalah besar dalam negara dan tidak boleh ditutup dengan mudah.
“Mengapa perolehan terbesar dalam Kementerian Pertahanan negara bernilai RM9 bilion, tidak ada tender? Dan siapa yang putuskan?
“Jangan ada alasan siasatan belum beres kerana ia harus bermula pada tahun 2019 atau sebelumnya,” katanya dalam siaran dalam Facebook rasminya pada Selasa.
Selain itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu menjalankan siasatan yang rapi berhubung skandal projek berkenaan.
“Bukan sahaja lihat satu dua kesalahan tetapi melihat keseluruhan perjanjian komersial yang menyebabkan masalah seberat ini.
“Kita tahu ada peranan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) tetapi saya tidak fikir perolehan sebesar ini dilakukan tanpa sekongkol pengurusan dengan menteri dan Perdana Menteri pada ketika itu.
“Inilah nasib rakyat kalau masih diselindung daripada kebenaran,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar turut menggesa supaya Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberi lebih banyak peranan dalam menentukan mutu perolehan aset ATM.
“Kami alu-alukan kenyataan bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar yang membuktikan bahawa ada kecurigaan dalam kalangan pimpinan tentera tentang perkara itu tetapi diketepikan oleh menteri dan Perdana Menteri kerana bagi mereka habuan diri lebih besar daripada kepentingan pertahanan negara,” ujarnya. -Sinar Harian
#Anwar Ibrahim #Hishammuddin Hussein #LCS #Zahid Hamidi
;