Isu Laut China Selatan perlu ditangani menerusi dialog, kata Anifah

Bernama
Ogos 29, 2013 07:19 MYT
Isu pertikaian wilayah di Laut China Selatan antara negara-negara Asean dan China harus diurus secara rasional menerusi dialog dan perundingan, kata Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman.
Beliau berkata tindakan mengeluarkan kenyataan berbaur ancaman dan menunjukkan kekuatan ketenteraan sehingga menimbulkan ketegangan perlu ditinggalkan.
"Ia juga penting bagi Asean dan China untuk memberi persepsi yang betul dan mesej yang jelas bahawa isu-isu berhubung Laut China Selatan diuruskan secara aman atas semangat persahabatan.
"Ini akan mengelakkan perhatian yang tidak perlu dan campur tangan daripada masyarakat antarabangsa," katanya semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Asean-China di sini semalam.
Anifah berkata semua pihak perlu bekerjasama bagi mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestablian di wilayah Laut China Selatan menerusi pelaksanaan penuh Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkaitan (DOC) secara berkesan dan penubuhan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC).
"Rundingan mengenai COC perlu bermula secepat mungkin dan tidak harus terikat dengan pelaksanaan DOC malah kedua-dua perlu selari antara satu sama lain," katanya.
Anifah percaya China, sebagai rakan dialog Asean yang paling aktif, mempunyai pegangan dan peranan penting dalam usaha merealisasikan Wawasan 2015 Asean iaitu membawa hubungan strategik kedua-dua pihak ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau berkata hubungan itu boleh dibawa ke tahap strategik yang lebih tinggi dengan bekerja lebih rapat dalam usaha untuk berubah pendekatan berasaskan peraturan bagi menguruskan hubungan antara negara di rantau ini.
"Sebagai kesederhanaan adalah nilai biasa Asean dan China, maka mesej kesederhanaan perlu terus disalurkan melalui saluran yang sedia ada untuk semua pihak," katanya.
#Anifah Aman #ASEAN #China #Laut China Selatan #menteri luar malaysia
;