Isu 'larangan' terbabit program kementerian: Mat Sabu dakwa Azman bohong

Astro Awani
September 12, 2023 20:18 MYT
Mohamad Sabu mengulas dakwaan Azman yang menyatakan menerima isyarat mengenai arahan tidak bertulis melarang pembabitan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu dalam sebarang program anjuran agensi Persekutuan itu di Terengganu.- Brnama
KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu menafikan ada larangan membabitkan exco pertanian di negeri diterajui pembangkang dalam sebarang program anjuran kementerian berkenaan.
Beliau sebaliknya menyifatkan dakwaan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Azman Ibrahim itu sebagai suatu pembohongan.
“Kita tidak ada apa-apa arahan. Mereka suka berbohong,” katanya dalam sidang media Majlis Perasmian Pavilion KPKM @ MIHAS di MITEC pada Selasa.
Beliau mengulas dakwaan Azman yang menyatakan menerima isyarat mengenai arahan tidak bertulis melarang pembabitan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu dalam sebarang program anjuran agensi Persekutuan itu di Terengganu.
Azman menerusi kenyataan di laman Facebooknya, malam tadi, mendakwa isyarat berkenaan dikemuka beberapa ketua jabatan dan agensi seliaan kementerian terbabit di Terengganu.
Sementara itu, Mohamad Sabu meminta badan agensi di bawah KPKM untuk bergerak lebih aktif memperkenalkan barangan produk Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Bukan nak saingi mana-mana tetapi permintaan belum lagi kita dapat penuhi sebab itu kita harap dengan pengeluaran barang seperti ini dapat kita pasarkan dalam negeri dan juga ke peringkat antarabangsa. Ini yang kita cuba usahakan sekarang," katanya.
#Exco #Mohamad Sabu #Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan #MIHAS
;