Isu lantikan Peguam Negara akan diselesai ikut Perlembagaan - Dr Mahathir

Bernama
Jun 3, 2018 19:09 MYT
DR MAHATHIR: Usaha sedang dijalankan mengenai masalah ini dan tidak ada manfaat untuk saya buat penjelasan sebelum usaha dijalankan. -Bernama
Kerajaan pusat pimpinan Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha menyelesaikan isu lantikan Peguam Negara yang baharu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau yang enggan mengulas lanjut isu tersebut bagaimanapun memberi jaminan penyelesaian akan dibuat menurut Perlembagaan Persekutuan dan lunas undang-undang.
"Usaha sedang dijalankan mengenai masalah ini dan tidak ada manfaat untuk saya buat penjelasan sebelum usaha dijalankan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis PH Kedah di Seri Mentaloon, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Kedah merangkap Pengerusi PH negeri Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan pimpinan pakatan itu.
Dr Mahathir mengulas mengenai laporan beberapa portal berita yang antara lain menyebut Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menolak calon yang dicadangkan kerajaan pusat untuk dilantik sebagai Peguam Negara baharu menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Laporan itu juga menyebut Raja-raja Melayu turut menyokong keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk menolak calon yang dicadangkan kerana bukan Melayu dan tidak beragama Islam.
Sementara itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan hari ini menyatakan Raja-raja Melayu akan mengadakan perbincangan khas berhubung isu itu di Istana Negara pada Selasa ini.
Mengulas perkembangan lain, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata beliau tidak akan campur tangan dalam krisis lantikan menteri besar Perlis kerana ia tidak ada kaitan dengan parti berkenaan.
"Macam mana saya nak campur tangan, parti saya tidak ada kuasa di Perlis, kalau ada kuasa bolehlah saya campur tangan," katanya.
Pada 24 Mei lalu, Pengerusi Barisan Nasional Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim memohon Dr Mahathir campur tangan dalam isu lantikan menteri besar negeri tersebut yang sehingga kini belum ada noktahnya.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir menyifatkan krisis yang berlaku di Perlis itu disebabkan UMNO kini dalam keadaan kucar-kacir sehingga tidak dapat menentukan prinsip perjuangan sebenar mereka.
Sementara itu mengenai Kedah, Dr Mahathir berkata kerajaan pusat akan membantu kerajaan negeri Kedah dalam usaha mencapai status negeri kaya seperti Johor dan Selangor.
"Pihak negeri Kedah menyatakan Kedah termiskin dan beberapa perkara akan diberikan perhatian oleh kerajaan pusat. Saya akan mengambil berat masalah dihadapi Kedah yang menyebabkan (ia) tidak capai kekayaan seperti Johor dan Selangor," katanya.
Mengenai mesyuarat itu, Dr Mahathir berkata antara lain beliau memberi ingatan agar pemimpin PH tidak terlibat dalam gejala rasuah.
"Dahulu waktu kita pembangkang kita sering kritik kerajaan kerana rasuah, sekarang kita sudah jadi kerajaan dan (menang ) di beberapa negeri, kita mesti melakukan segala cara untuk membendung rasuah ini," katanya.
-- BERNAMA
#Mahathir Mohamad #Mohamed Apandi Ali #Mukhriz Tun Dr Mahathir #Peguam Negara
;