Isu lantikan MPKK bukan orang PH dibangkit perwakilan diteliti
Rahimah Abdullah
Disember 30, 2018 17:07 MYT
Disember 30, 2018 17:07 MYT
Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun sedia meneliti pandangan perwakilan semasa perbahasan yang membangkitkan isu lantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam kalangan bukan orang Pakatan Harapan (PH).
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar pada masa sama menjelaskan, pengurusan MPKK akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa.
"Bukan kita tak bincang sebab itu apabila kita sudah umum MPKK ini, kita dapat pandangan dan respon daripada ketua pimpinan negeri. Kita bincang lagi supaya ada lima orang tambahan pun dibawa juga ke mesyuarat kabinet.
"Selepas diterimanya, ada pula kata janganlah diberi (MPKK) kepada Pas dan bukan PH. Saya terima pandangan semua pihak sebab kita akan cuba tambah baik tentang pengurusan MPKK," katanya dalam ucapan penangguhan Ketua Srikandi Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di sini.
Beliau mengakui isu berkenaan dibangkitkan perwakilan dari yang menyatakan isu lantikan MPKK kalangan orang bukan PH berlaku di negeri-negeri yang tidak dimenangi Pakatan Harapan, seperti Perlis, Pahang dan Terengganu.
"Kalau kita sorot balik Mei 2018, kita membawa semangat Malaysia Baharu. Jika ada dua kampung, maka yang akan menerimanya adalah penduduk kampung terpecah dua.
"Kerana itu, setelah perbincangan diadakan, kita hanya satu sahaja pengurusan kampung ada di setiap negeri. Kita mansuh JKKP , kita tak nak ada dua kampung dalam satu kampung," ujarnya.
Menurut beliau, isu utama yang dibangkitkan adalah mengenai pembahagian jawatan ketua kampung menerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung yang dikendalikan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Pada perbahasan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Ahad, seorang perwakilan mendedahkan, beberapa pembahas telah membangkitkan isu jawatan ketua kampung yang dikatakan diberi kepada orang UMNO.
Mereka turut menemplak menteri itu yang dikatakan tidak memikirkan kebajikan ahli parti.