Isu kurung murid : KPM anggap selesai - Fadhlina
Dewi Nur Harasha Alias
Julai 1, 2023 11:20 MYT
Julai 1, 2023 11:20 MYT
NIBONG TEBAL: Isu tular seorang murid tahun satu yang didakwa dikurung di dalam sangkar besi di Sekolah Kebangsaan (SK) Astana Raja, Negeri Sembilan sudah diselesaikan dengan cara baik.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Negeri Sembilan sudah menjalankan siasatan terperinci termasuk mengadakan perbincangan bersama ibu bapa murid terlibat.
Meskipun dianggap selesai, Fadhlina berkata, pihak Kementerian Pendidikan (KPM) berharap kes sedemikian tidak akan berulang lagi di masa depan.
"Kes ini telah selesai di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Negeri Sembilan. Sudah ada penyelesaian baik di antara sekolah dan ibu bapa, jadi sebagaimana saya sebutkan sebelum ini kes ini telah diputuskan dengan baik di peringkat jabatan negeri. Jadi kita anggap telah selesai.
"Semua dalam konteks siasatan semasa kes ini disiasat oleh JPN kita telah ambil perhatian semua perkara tersebut dan tindakan sedang diselesai, tindakan itu akan dibuat dipastikan keselamatan keseluruhan, bukan sahaja murid itu tetapi sekolah juga berkaitan dengan isu yang dibangkit tadi
," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya berterima kasih kepada keprihatinan komuniti dan berharap kes ini akan menjadi pengajaran untuk semua.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas majlis Qurban Perdana Nibong Tebal di Masjid Jamek Al Huda, Sungai Bakau, di sini pada Sabtu.
Sebelum ini media sosial kecoh mengenai seorang murid Tahun Satu sebuah sekolah rendah di Rembau, dikatakan dikurung dalam sebuah bilik berpagar besi yang kelihatan seperti penjara.
Tular satu tangkap skrin dalam aplikasi WhatsApp sebuah kelas apabila seorang ibu menunjukkan anaknya yang juga murid Tahun Satu diletakkan di dalam bilik berpagar untuk tujuan pengasingan.
Siasatan polis mendapati tindakan tersebut dilakukan seorang guru lelaki berusia 43 tahun yang telah mendenda murid tahun satu itu dengan mengurung di ruangan besi (sangkar) kerana kesalahan disiplin.
Sementara itu, Pejabat Pendidikan Daerah Rembau menjelaskan 'hukuman' pengasingan dengan mengurung murid Tahun Satu diambil selepas murid berkenaan mengulangi kesalahan mengganggu rakannya walaupun sudah diberi peringatan.