Isu kuil: Sidang media Kerajaan Selangor esok - MB

Afiq Ariffin
November 28, 2018 14:30 MYT
Amirudin turut menggesa semua pihak untuk tidak menggangu ketenteraman awam di sekitar kawasan Kuil Seafield Sri Maha Mariamman. - BERNAMA/Fail
Kerajaan negeri Selangor akan mengadakan sidang media bagi menyelesaikan isu kekecohan yang tercetus disebabkan rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Putra Heights, dekat Subang Jaya tempoh hari.
Menurut Menteri Besar, Amirudin Shari, sidang media khas tersebut akan diadakan di Bangunan Annexe, Dewan Negeri Selangor pada pukul 1 petang hari Khamis.
Menerusi kenyataannya di Twitter, beliau juga turut menggesa semua pihak supaya tidak mengganggu ketenteraman awam.
"Saya menggesa semua pihak untuk tidak menggangu ketenteraman awam dan mencetuskan keresahan di sekitar kawasan Kuil Seafield Sri Maha Mariamman.
"Hasil Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri semalam, pihak polis telah mempertingkatkan kawalan keselamatan bagi menjamin ketenteraman awam," tambah beliau.
BACA: Keputusan usul bincang kes rusuhan kuil diketahui esok – Fahmi
BACA: Anggota bomba cedera akibat kemalangan - Badan bertindak kuil
BACA: KPN nafi anggota polis terlibat dalam rusuhan di kuil
Beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Selangor komited untuk mematuhi lunas undang-undang, menjamin ketenteraman awam dan mencari penyelesaian terbaik bagi isu ini.
Amirudin berkata beliau turut mendoakan agar anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim sembuh sepenuhnya.
#Amirudin Shari #insiden rusuhan #kerajaan negeri #keselamatan #Menteri Besar #Selangor #Sidang media #Sri Maha Mariamman