Isu kuarters PDRM, ATM perlu penelitian holistik - Zahid

Ridzal Abdullah
Jun 28, 2015 15:01 MYT
Penelitian secara holistik diperlukan bagi menyelesaikan masalah kuarters kediaman PDRM dan ATM di negara ini. - Gambar Fail
Penelitian secara holistik diperlukan bagi menyelesaikan masalah kuarters kediaman Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negara ini khususnya di kawasan luar bandar.
Hasil tinjauan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Wallace Bay, Pulau Sebatik, terdapat keperluan kerja membaik pulih kediaman anggota dan pegawai polis di kawasan itu.
Katanya, sejumlah besar peruntukan diluluskan bagi tujuan membaik pulih rumah anggota polis dan tentera.
“Tujuan saya ke tempat itu (Wallace Bay) adalah untuk meninjau terhadap kemudahan balai polis dan kuarters kediaman polis di kawasan pedalaman ini…ia berikutan dari arahan Perdana Menteri dalam mesyuarat jemaah menteri minggu lalu untuk memberikan peruntukan tambahan yang agak besar kepada rumah-rumah anggota polis dan tentera.
“Untuk itu kita merasakan bahawa peruntukan pembaikan RM100 juta pada (bajet) tahun 2015 adalah peruntukan benar-benar besar tapi tidak mencukupi bagi membaik pulih,” ulas Ahmad Zahid ketika ditemui di Lapangan Terbang Tawau selepas membuat tinjauan udara di kawasan Pulau Sebatik.
Sementara itu, beliau menambah, perhatian juga harus diberikan kepada anggota polis dan tentera yang tinggal di bandar kerana ada segelintir mereka terpaksa menyewa rumah pada kadar di luar munasabah.
“Bagi pegawai dan anggota polis yang tinggal di kawasan bandar dan kawasan-kawasan bandaraya terpaksa menyewa rumah lebih mahal dari elaun yang diberikan kepada mereka,” ujarnya.
Beliau turut kecewa apabila berlaku kegagalan untuk mendapatkan sijil layak menduduki disebabkan sesetengah projek yang tidak mengikut piawaian dan spesifikasi ditetapkan atas alasan peningkatan kos pengangkutan serta bahan.
#ATM #PDRM #polis #tentera #Zahid Hamidi
;