Isu kuarantin: Khairuddin nafi ke Belanda, beri amaran saman pemfitnah
Astro Awani
September 4, 2020 19:51 MYT
September 4, 2020 19:51 MYT
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali menafikan dakwaan singgah di Belanda ketika kunjungan ke Turki semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Beliau berkata, gambar yang ditularkan di media sosial adalah gambar lama yang diambil ketika beliau berkunjung ke negara berkenaan antara tahun 2016 dan 2019.
Sehubungan itu, Khairuddin menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita palsu itu.
"Saya ingin maklumkan saya ke Holland itu bukan sekarang, itu memang program yang sebelum ini, 2018 saya ke Holland, pada 2016 saya ke Holland juga, 2017 saya ke Holland juga untuk projek-projek yang lain, bukan baru-baru ini. Itu (saya) ke hanya Turki saja.
"Maka mana-mana orang yang membuat berita palsu di Internet, tunggulah surat guaman daripada saya," katanya selepas merasmikan Program Aplikasi RRIMNiaga Tingkatkan Insentif Pengeluaran Getah di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), pada Jumaat.
Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial termasuk blog dan Twitter yang mendakwa Khairuddin singgah di Belanda ketika kunjungan ke Turki Julai lalu.
Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, sebelum ini mengaku melanggar perintah kuarantin wajib dan telah dikompaun RM1,000 mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Polis sebelum ini sudah membuka kertas siasatan terhadap beliau susulan 27 laporan polis yang diterima di seluruh negara berhubung perkara itu dan memanggilnya ke Bukit Aman bagi membantu siasatan.
#Belanda
#blog
#COVID-19
#Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
#PKPP
#Turki
#Twitter
#undang-undang