Isu Kidex: Selepas tabur janji manis, Azmin mula tunjuk belang - ahli Umno
Wan Syamsul Amly
Februari 19, 2015 15:16 MYT
Februari 19, 2015 15:16 MYT
Kenyataan Kementerian Kerja Raya mengenai status projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) yang memenuhi semua prasyarat membuktikan pengumuman pembatalan projek itu oleh Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengenepikan kepentingan rakyat negeri itu sendiri.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, Azmin semakin hari semakin 'tunjuk belang' dan membelakangkan hasrat murni untuk rakyat Selangor semasa mula-mula menjadi menteri besar.
"Jelas apa yang dinyatakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengenai Kidex memberi banyak manfaat kepada rakyat jika ia direalisasikan.
"Baru sahaja lepas 100 hari memegang tampuk menteri besar, Azmin sudah mula melupakan hasrat membantu rakyat Selangor...dahulu masa mula-mula memerintah, banyak janji-janji manis untuk mendengar keluh kesah rakyat negeri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Johan mengulas kenyataan Fadillah yang memaklumkan semua proses, prosedur dan prasyarat Kidex telah dipatuhi dan dikemukakan keseluruhannya kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, yang telah mendapat kelulusan prinsip bersyarat pada 23 Feb 2012 daripada kerajaan negeri.
Kata Fadillah, Kidex merupakan satu penyelesaian bagi menangani kesesakan lalu lintas kawasan Lembah Klang dan Petaling Jaya, selain beberapa lebuh raya lain yang dicadangkan untuk mewujudkan jaringan jalan raya,lebuh raya dan pengangkutan awam yang lebih sistematik.
Pada 16 Februari, Azmin mengumumkan pembatalan Kidex kerana kerajaan negeri mendapati pihak Kidex gagal mematuhi syarat-syarat yang dipersetujui sebelum tarikh akhir 14 Februari 2015.
Kata Johan lagi, pembatalan Kidex oleh Azmin disifatkan langkah awal sebelum banyak lagi projek untuk rakyat yang dirancang sebelum ini ditarik balik.
"Azmin mula dengan Kidex, selepas ini apa lagi agaknya projek rakyat yang akan dibatalkan...hari demi hari Azmin mula melupakan kepentingan rakyat Selangor," katanya.
Sebelum ini, Johan dilaporkan berkata, pembatalan Kidex merupakan keputusan paling pelik yang dibuat Azmin tahun ini.