Isu Kg Sungai Baru: Layan sebagai pemilik sah bukan setinggan

Faida Rahim
Januari 14, 2023 17:13 MYT
Walaupun kerajaan mungkin berhak dan berkuasa, hak dan kuasa ini perlu digunakan secara adil dan bertanggungjawab. Rakyat perlu dibela dan tidak dibuli. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Hanya kerana pemilik adalah Melayu, maka mereka dianggap boleh diperlakukan sesuka hati oleh kerajaan Melayu Islam.
Demikian kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad dalam satu kenyataan berharap agar ada penyelesaian seadilnya untuk pemilik tanah dan pembangunan Kampung Sungai Baru.
“Pemilik tidak menentang pembangunan. Sebaliknya mereka ingin dilayani secara adil, sebagai pemilik sah dan bukan sebagai setinggan.
“Pemilik terus dibuli dan Akta Pengambilan Tanah 1960 digunakan untuk merampas tanah mereka di tengah bandar raya Kuala Lumpur ini dengan dijanjikan pampasan yang terlalu rendah. Pemilik dibuli oleh kerajaan Perikatan Nasional/Barisan Nasional ketika itu,” katanya.
Bekas calon Pakatan Harapan Titiwangsa ini turut kecewa dengan Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim yang pernah menjanjikan bahawa isu ini mampu diselesaikan melalui 'Pakej Harmoni'.
Sementara itu, Khalid mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas atas keprihatinan terhadap isu pembangunan Kampung Sungai Baru.
“Walaupun kerajaan mungkin berhak dan berkuasa, hak dan kuasa ini perlu digunakan secara adil dan bertanggungjawab. Rakyat perlu dibela dan tidak dibuli,” katanya.
Tahun lalu, penduduk di situ menerima notis mengikut Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) yang mengarahkan mereka beredar dari tanah itu untuk memberi laluan pembangunan.
#Khalid Samad #Barisan Nasional #Anwar Ibrahim #Kampung Sungai Baru
;