Isu kewarganegaraan: Bincang semula cadangan pindaan Perlembagaan mudaratkan kanak-kanak - HAWA
Kenyataan Media
Julai 14, 2023 15:47 MYT
Julai 14, 2023 15:47 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta kembali ke meja rundingan bersama pemegang taruh mengenai beberapa cadangan pindaan Perlembagaan melibatkan isu kewarganegaraan terutama membabitkan kanak-kanak yang dilihat memudaratkan.
Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, perbincangan itu penting kerana beberapa cadangan bermungkinan bakal mengakibatkan kehilangan perlindungan sedia ada kepada golongan rentan terutama kanak-kanak terdampar dan terbuang.
“Hari ini kita mendengar suara yang cukup lantang dan cukup ramai dari ibu-ibu Malaysia menyokong hak sama rata dengan bapa-bapa Malaysia mewariskan kerakyatan secara automatik kepada anak-anak yang dilahirkan oleh mana-mana rakyat Malaysia.
“Ia berhubung akses untuk kanak-kanak ini untuk mendapat pendidikan, penjagaan kesihatan dan perlindungan-perlindungan lain dapat dijamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kerajaan juga disaran mengkaji lebih mendalam serta mendapat maklum balas yang holistik daripada pemegang taruh yang cukup dekat dengan isu ini sebelum memutuskan langkah seterusnya.
Sementara itu HAWA melalui kumpulan fokus HAWAHak (Perundangan dan Polisi) menganjurkan ”Sesi Perkongsian Minda Pemegang Taruh: Cadangan Pindaan Perlembagaan Berkenaan Kewarganegaraan” di ibu negara pada Jumaat.
Sesi ini melibatkan maklum balas dan perbincangan dengan lebih sepuluh Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan kupasan dari pakar perlembagaan, Profesor Emeritus Datuk Shad Saleem Faruqi dan wakil Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam, Dr Farah Nini Dusuki.