Isu Ketua Menteri Sabah, hormati keputusan mahkamah - Ewon

Bernama
November 7, 2018 21:54 MYT
Mahkamah menolak saman pemula Musa Aman (kanan), sekali gus mengekalkan Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah. - Gambar fail
Rakyat Sabah harus menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini yang menolak saman pemula Tan Sri Musa Aman, sekali gus mengekalkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick.
Sehubungan itu, Ewon mengajak semua pihak, termasuk anggota pentadbiran awam bergerak ke hadapan dengan lebih harmoni untuk sama-sama memajukan negeri ini.
"Saya pasti keputusan penghakiman ini akan dikeluarkan oleh pihak mahkamah untuk tatapan umum dan seterusnya menjadi rujukan kes penting pada masa hadapan. Mari menghormati keputusan mahkamah ini.
"Dengan ini, tiba masanya bagi kita semua, sama ada Anggota Pentadbiran Negeri, Anggota Perkhidmatan Awam serta rakyat dan sektor-sektor lain untuk bergerak ke hadapan dengan lebih harmoni," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Naib Presiden UPKO berkata pilihan raya umum ke-15 masih lagi lama dan oleh itu semua pihak seharusnya mengisi masa dengan bekerjasama ke arah kebaikan rakyat.
Katanya rakyat Sabah berhak mendapatkan perkhidmatan kerajaan yang stabil melalui urus tadbir penyampaian awam yang lebih baik daripada sebelum ini.
Ewon berkata rakyat juga berhak menikmati pembangunan kemudahan dan kemajuan ekonomi yang lebih baik dengan adanya kestabilan politik dan keharmonian kerjasama dalam penyampaian kerajaan Sabah serta hubungan lebih baik dengan kerajaan Persekutuan.
"Ini seharusnya menjadi fokus utama kita sekarang. Bagi rakan-rakan pimpinan kerajaan Sabah, mari bekerja untuk melaksanakan yang terbaik buat rakyat negeri ini," katanya.
-- BERNAMA
#Ewon Benedick #keputusan mahkamah #Ketua Menteri Sabah #Mahkamah Kota Kinabalu #Sabah
;