Isu keterjaminan makanan antara isu tumpuan di Parlimen hari ini

Astro Awani
Mei 23, 2023 07:45 MYT
Mesyuarat Kedua penggal kedua Parlimen ke-15 akan berlangsung sehingga 5 Jun depan. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Isu keterjaminan makanan antara yang akan menjadi tumpuan di sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut aturan urusan mesyuarat dalam laman web rasmi Parlimen, isu itu akan dibangkitkan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad ketika sesi soal jawab lisan.
Noraini memohon Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjelaskan setakat ini berapa banyak jenis produk pertanian yang masih belum mencapai nisbah 'self sufficient ratio'.
Beliau juga meminta kementerian berkenaan menjelaskan langkah yang akan dilaksana bagi mencapai nisbah yang ideal dalam masa yang sama mengurangkan kebergantungan negara kepada produk pertanian import.
Selain itu, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail pula meminta Menteri Luar Negeri menyatakan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan khususnya Kementerian Luar Negeri bagi mengembalikan kegemilangan kedudukan dan peranan Malaysia di peringkat antarabangsa termasuk ASEAN.
Beliau berpandangan ketika ini kedudukan yang dilihat semakin terpencil dan tidak dinamik sepertimana era tahun 1980an dan 1990an dahulu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar meminta Menteri Perladangan dan Komoditi memberi penjelasan mengenai langkah kementerian untuk meningkatkan kecekapan industri pemprosesan sawit ke tahap IR 4.0.
Isu aset Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut dibangkitkan Ahli Parlimen Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed.
Beliau meminta Menteri Kewangan menyatakan berapa hasil yang diperoleh hasil penjualan portfolio enam aset runcit di Lembah Klang dan Johor oleh KWSP.
Mesyuarat Kedua penggal kedua Parlimen ke-15 akan berlangsung sehingga 5 Jun depan.
#Dewan Rakyat #keterjaminan makanan #produk pertanian import #noraini ahmad
;