Isu kesesakan CIQ BSI, KSAB perlu diselesai tanpa kompromi - Tunku Mahkota Ismail

Bernama
Mei 9, 2024 16:22 MYT
Tunku Mahkota Ismail bertitah ketika merasmikan Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.- Foto Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi
ISKANDAR PUTERI: Isu kesesakan yang kerap dilaporkan berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) perlu diselesaikan tanpa kompromi, titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Baginda bertitah isu berkenaan penting kerana Tambak Johor di pusat bandar Johor Bahru manakala Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) di Gelang Patah merupakan aset penting kepada pembangunan ekonomi negeri.
"Terdapat inisiatif penaiktarafan yang dibuat di CIQ BSI dan KSAB, namun masih terdapat banyak kekurangan yang memerlukan perhatian serius. Saya ingin melihat isu-isu ini diselesaikan tanpa kompromi," titah baginda.
Tunku Mahkota Ismail bertitah demikian ketika merasmikan Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Baginda turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan pelaksanaan projek ekonomi berimpak tinggi iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di negeri ini.
Pemangku Sultan Johor bertitah pelaksanaan kedua-dua inisiatif berkenaan akan meningkatkan lagi potensi perkembangan ekonomi negeri ini dalam usaha menjadi negeri maju menjelang 2030.
"Pelaksanaan JS-SEZ dan juga SFZ ini juga akan mengukuhkan lagi hubungan Johor dan Singapura pada masa depan, sekali gus meningkatkan ekonomi negeri dan kesejahteraan penduduknya.
"Sehubungan itu, penjawat awam di negeri ini diminta untuk meningkatkan produktiviti mereka dalam memastikan semua projek yang dirancang berjalan dengan lancar dan mengikut jadual ditetapkan," titah baginda.
-- BERNAMA
#isu kesesakan #Pemangku Sultan Johor #tunku mahkota ismail #BSI #KSAB #Singapura
;