Isu keselamatan antara tumpuan rundingan tahunan Malaysia-Thai

Bernama
September 8, 2016 13:01 MYT
NAZIRAH: Rundingan tahunan Malaysia dan Thailand adalah acara dua hala yang penting bagi pemimpin tertinggi dan pegawai kanan kedua-kedua negara mengeratkan lagi hubungan serta kerjasama antara negara yang berjiran. -Gambar fail
Beberapa isu keselamatan termasuk pemerdagangan manusia, keselamatan sempadan bersama dan pergolakan di selatan Thai bakal dibincangkan dalam Rundingan Tahunan Malaysia dan Thailand keenam, di sini esok.
Duta Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain berkata rundingan tahunan itu akan turut menyentuh isu lain seperti ekonomi, industri, perdagangan, pendidikan, kebudayaan dan lain-lain.
"Rundingan tahunan Malaysia dan Thailand adalah acara dua hala yang penting bagi pemimpin tertinggi dan pegawai kanan kedua-kedua negara mengeratkan lagi hubungan serta kerjasama antara negara yang berjiran," katanya kepada media Malaysia hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai delegasi tujuh Menteri Kabinet Malaysia ke rundingan tahunan itu, manakala rakan sejawatnya Jen Prayut Chan-o-cha akan mengetuai delegasi Thailand.
Najib dijangka tiba di Bangkok petang ini selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Vientiane, Laos.
Rundingan tahunan Malaysia dan Thailand itu akan berlangsung di Rumah Kerajaan petang esok, dengan kedua-dua Perdana Menteri dijangka mengadakan sidang media bersama selepas itu.
Menurut Nazirah, isu pergolakan selatan Thai juga bakal disentuh dalam perbincangan oleh pemimpin kedua-dua negara.
Malaysia memainkan peranan sebagai fasilitator kepada rundingan damai tidak rasmi antara kerajaan Thailand dengan MARA Patani, yang mewakili enam kumpulan militan di selatan Thai.
Beliau juga berkata, isu ekonomi dan perdagangan dua hala Malaysia dan Thailand turut bakal dibincangkan secara panjang lebar oleh kedua-dua negara.
Ia kerana Thailand merupakan rakan perdagangan kelima terbesar bagi Malaysia dengan jumlah dagangan dua hala antara kedua negara mencecah US$22 bilion pada 2015, katanya.
Kedua-dua negara sedang berusaha meningkatkan jumlah perdagangan dua hala kepada US$30 bilion pada 2017.
#nazirah hussain #pergolakan di selatan Thai #Rundingan Tahunan Malaysia dan Thailand
;