Isu kerusi DUN Nenggiri: 19 Feb keputusan batal saman Mohd Azizi

Bernama
Disember 18, 2024 17:20 MYT
Mohd Azizi memohon pengisytiharan antaranya pemecatan jawatan dan keahlian beliau dalam Bersatu menerusi notis bertarikh 12 Jun lepas adalah tidak sah dan batal serta salah di sisi undang-undang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 19 Feb tahun depan bagi menentukan keputusan permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Bersatu dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan untuk membatalkan saman pemula difailkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim.
Hakim Roz Mawar Rozain menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan oleh pihak-pihak yang terlibat ketika prosiding dalam kamar yang dihadiri Peguam Kanan Persekutuan M Kogilambigai mewakili SPR dan kerajaan.
Turut hadir peguam Chetan Jethwani mewakili Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin serta peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang bertindak bagi Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Dalam saman pemula itu, Mohd Azizi yang juga bekas Ahli Parlimen Gua Musang memohon pengisytiharan antaranya pemecatan jawatan dan keahlian beliau dalam Bersatu menerusi notis bertarikh 12 Jun lepas adalah tidak sah dan batal serta salah di sisi undang-undang.
Terdahulu, Awang Armadajaya berhujah bahawa pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri N43 Nenggiri telah berakhir pada 17 Ogos lepas dan calon dengan nama Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani telah dipilih untuk kerusi itu adalah fakta yang tidak dapat dipertikaikan.
"Ia turut tidak dapat dipertikaikan bahawa plaintif (Mohd Azizi) enggan, mengabaikan dan gagal menawarkan diri sebagai calon dalam PRK itu, walaupun tiada halangan, undang-undang atau sebaliknya untuk beliau menyertai pemilihan itu.
"Tiada halangan, undang-undang atau sebaliknya untuk plaintif menamakan Azmawi Fikri yang telah dipilih bagi kerusi Nenggiri sebagai seorang daripada defendan," katanya.
Beliau seterusnya menegaskan bahawa hak untuk didengar perlu diberikan kepada Mohd Azmawi Fikri, calon yang menang dalam PRK itu memandangkan beliau paling banyak mengalami kerugian jika saman pemula dan pelepasan yang dimohon dibenarkan.
"Atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas, saman ini harus dibatalkan kerana ia tidak mendedahkan sebab tindakan atau pembelaan yang munasabah, kerana kes itu mungkin bersifat skandal, remeh dan menjengkelkan.
"Ia juga mungkin memudaratkan atau melewatkan perbicaraan adil terhadap tindakan itu dan menyalah guna proses mahkamah," kata Awang Armadajaya.
Sementara itu, peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Mohd Azizi memberitahu mahkamah bahawa pihaknya berkemungkinan akan menarik balik saman terhadap SPR.
Dalam saman yang difailkan 24 Jun lepas, Mohd Azizi memohon pengisytiharan bahawa pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Nenggiri tidak boleh dijalankan atau dilakukan oleh SPR (defendan keempat) kerana ia masih disandang oleh beliau.
Beliau turut memohon pengisytiharan bahawa pemecatan jawatan dan keahlian beliau dalam Bersatu menerusi notis bertarikh 12 Jun lepas adalah tidak sah dan batal serta salah di sisi undang-undang.
Mohd Azizi juga memohon perisytiharan bahawa Surat Makluman itu adalah tidak sah dan batal dan pemecatan jawatannya daripada Bersatu adalah berniat jahat.
Menurut plaintif, pindaan kepada Fasal 10 Perlembagaan Bersatu yang menetapkan keahlian seseorang akan dihentikan jika dia menyokong pesaing politik adalah tidak berperlembagaan.
-- BERNAMA
#DUN Nenggiri #saman mahkamah #bekas ADUN #Mohd Azizi Abu Naim
;