Isu kerakyatan: Kerajaan tidak akan kompromi, tergesa-gesa capai KPI - Saifuddin

Umavathi Ramayah
Mac 29, 2023 19:34 MYT
Saifuddin berkata kelulusan permohonan tidak hanya dilakukan beliau seorang diri, sebaliknya keputusan dibuat selepas perbincangan dengan pegawai kanan kementerian. - Fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan berkompromi atau tergesa-gesa memberi status kewarganegaraan kepada mana-mana pihak semata-mata mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) menjelang hujung tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kelulusan permohonan tidak hanya dilakukan beliau seorang diri, sebaliknya keputusan dibuat selepas perbincangan dengan pegawai kanan kementerian.
“Warganegara merupakan satu anugerah tertinggi dan bila kita beri, ini bermakna negara akan bertanggungjawab ke atas individu terbabit dan dia juga perlu bertanggungjawab ke atas negara.
“Saya akan duduk bersama pegawai kanan melihat dan berbincang bagi setiap satu permohonan. Kita akan menilai merit permohonan-permohonan itu.
“Saya ditemani pegawai kanan dalam membuat sebarang keputusan,” katanya ketika sesi Dialog Menteri Dalam Negeri bersama media di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution memberitahu, sejak memegang jawatan menteri pada awal Disember tahun lalu, beliau sudah membuat keputusan bagi lebih 5,600 permohonan.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata KDN menyasar untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya 10,000 permohonan bagi mendapatkan status kewarganegaraan pada tahun ini.
#Saifuddin Nasution #KDN #status kewarganegaraan #KPI
;