Isu kenyataan menghina: Polis sedia atur pertemuan antara TMJ, individu

Hakim Rahman
Mei 30, 2016 18:20 MYT
NOOR RASHID: Kalau setakat hendak jumpa kita (polis) boleh aturkan, jika baginda ingin mendengar sendiri penjelasan mereka.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia mengaturkan pertemuan antara Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan mana-mana individu yang membuat kenyataan menghina baginda.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, berkata polis mengambil maklum cadangan baginda dan sedia membantu mengesan individu berkenaan.
Bagaimanapun menurut Noor Rashid, siasatan akan dijalankan sekiranya kenyataan yang dikeluarkan berunsur hasutan bagi mengelakkan implikasi lebih teruk pada masa akan datang.
"Kalau setakat hendak jumpa kita (polis) boleh aturkan, jika baginda ingin mendengar sendiri penjelasan mereka.
"Tetapi kalau kenyataan melibatkan fitnah, orang yang terlibat harus membuat aduan kalau tidak polis tidak akan mengambil tindakan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sementara itu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam khidmat pesanan ringkasnya kepada Astro AWANI berkata PDRM menghormati pandangan Tunku Ismail tetapi pihaknya terpaksa menjalankan siasatan apabila menerima laporan polis.
Tunku Ismail dalam laman sosial Facebook JOHOR Southern Tigers mencadangkan kepada pihak berkuasa supaya dapat menganjurkan pertemuan dengan individu terlibat sekali gus memberi peluang mereka menyuarakan apa yang ingin dikatakan kepadanya.
"Saya lebih suka jika pihak berkuasa dapat menganjurkan pertemuan antara saya dan individu-individu tersebut dan memberi mereka peluang menyuarakan apa yang mahu dikatakan secara berhadapan dan bersemuka antara mereka dan saya sahaja.
"Saya akan menghargainya jika anda bersetuju dengan cadangan ikhlas saya ini," catatnya.
Tunku Ismail berkata beliau sememangnya tidak mengambil peduli apa sahaja yang orang katakan, malah tidak ada masa untuk melayan perkara itu kerana bersyukur dengan apa yang diberikan Allah SWT kepadanya.
#atur pertemuan #individu hina TMJ #Noor Rashid Ibrahim #PDRM #polis #TMJ #Tunku Ismail #Tunku Mahkota Johor
;