Isu kenaikan mendadak harga tiket penerbangan ke Sabah, Sarawak dibawa ke Dewan Rakyat - Kelvin Yii
Astro Awani
Oktober 27, 2021 18:29 MYT
Oktober 27, 2021 18:29 MYT
KUALA LUMPUR: Peningkatan mendadak harga tiket penerbangan dari semenanjung ke Sabah dan Sarawak membebankan banyak pihak termasuk petugas barisan hadapan yang pulang bertugas dan orang awam yang ingin melawat keluarga.
Menurut Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii, beliau menerima banyak aduan harga tiket pergi dan balik meningkat sehingga RM3,000 daripada harga asal sekitar RM300 hingga RM500 sebelum ini.
Berikutan itu, katanya perkara tersebut akan dibawa ke sidang Dewan Rakyat bagi menggesa kerajaan mengawal kenaikan harga yang mendadak ini.
‘’Kekurangan penerbangan mungkin jadi faktor kenaikan yang mendadak ini walaupun Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengumumkan peningkatan jumlah penerbangan bermula 1 Oktober 2021.
‘’Perkara ini wajar diambil perhatian kerajaan negeri bukan sahaja bagi memperkasa sektor pelancongan di negeri itu malah memudahkan urusan pulang mahasiswa yang menuntut di negeri itu memandangkan institusi pendidikan sudah mula dibuka semula,’’ katanya.
Selain itu ujarnya, peningkatan ini bukan sahaja menjejaskan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) malah perniagaan dan pelanggan turut terkesan.
Antara lain, dengan desas-desus pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 dalam masa terdekat, semua usaha perlu digerakkan bagi memudahkan urusan pergi dan balik warga negeri itu yang pulang mengundi.
‘’Ini antara sebab mengapa saya menggesa Kementerian Pengangkutan dan JPBN Sarawak mencari jalan penyelesaian dan mencapai kata sepakat melalui perbincangan dengan semua pihak berkepentingan.
‘’Ini termasuk Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Malaysia Airports Holdings (MAHB) serta pemain taruh lain bagi menyelsaikan isu ini,’’ tambahnya lagi.