Isu kenaikan elaun 'on call' pegawai perubatan dibincang Jumaat ini - Dr Dzulkefly

Astro Awani
Januari 21, 2025 19:15 MYT
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media khas hari ini.- Foto Bernama
PUTRAJAYA: Doktor perubatan dijangka mendapat berita baik berhubung pembayaran kenaikan elaun on call dalam masa terdekat apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad membayangkan perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet, Jumaat ini.

Ringkasan AI
  • Kenaikan elaun on call untuk doktor perubatan dijangka diputuskan dalam mesyuarat Kabinet Jumaat ini, menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
  • Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) kecewa kerana kenaikan elaun on call belum dilaksanakan seperti yang dijanjikan.
  • Doktor masih menunggu kenaikan elaun on call yang lebih tinggi, dengan perincian dan pelaksanaan akan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Tanpa memberikan sebarang perincian lanjut, beliau berkata sudah menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkara itu.
"Saya berkesempatan berhubung dengan Perdana Menteri sebentar tadi. Beliau menyebutkan pada saya supaya menunggu keputusan Kabinet Jumaat ini, untuk mendapat keputusan secara tuntas.
"Perdana Menteri sebutkan pada saya, kita akan membuat keputusan ini secara tuntas dalam (mesyuarat) Kabinet Jumaat ini dan jangan diumumkan buat sementara.
"Tapi itulah semangatnya adalah seperti mana (kenyataan saya pada) Ogos (tahun lalu) dan juga dalam ucapan Perdana Menteri bahawa kenaikan itu adalah satu yang beliau sebutkan dalam ucapan Belanjawan 2025.
"Jadi perkara itu pada saya adalah posisinya begitu. Perincian dan pelaksanaannya itu macam mana, (ikut) nasihat Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
"Kita doakan bersama kepada Allah (akan ada berita baik), insya-Allah," katanya pada sidang media khas hari ini.
Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menzahirkan kekecewaan dengan kerajaan kerana masih mengelak daripada melaksanakan kenaikan elaun on call seperti dijanjikan untuk doktor.
Bahagian pegawai pelatih, pegawai perubatan dan pakar perubatan berkata doktor masih menunggu agar elaun mereka dinaikkan seperti yang diumumkan dua kali tahun lalu.
Menurut MMA Schomos, pihaknya masih menunggu elaun on call yang lebih tinggi, yang diumumkan kali kedua dalam Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu, tanpa sebarang perincian mengenai pelaksanaannya.
#Malaysian Medical Association #Kementerian Kesihatan #Doktor #elaun on call #Dzulkefly Ahmad #Anwar Ibrahim #terkini
;