Isu kemiskinan warga emas: Skim pekerjaan khas dicadang diwujudkan

Faida Rahim
Oktober 1, 2023 21:12 MYT
Ramai warga emas yang terpaksa meniti hari tua dengan sekuriti kewangan atau jumlah simpanan yang amat sedikit. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kemiskinan warga emas seharusnya diberi perhatian serius Kerajaan terutama bagi golongan berusia 60 tahun ke atas yang tidak memiliki simpanan mampan.
Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Zumilah Zainaludin mencadangkan sebuah skim pekerjaan khas diwujudkan sesuai dengan tahap kecergasan dan kesihatan warga emas yang memerlukan pendapatan.
"Dengan garis panduan yang sesuai dengan mereka contohnya tempoh jam bekerja, mungkin empat hingga lima jam... dan ada juga kadar gaji. Ia (skim) tersebut perlu berada di skim luar pekerjaan normal yang mana warga emas tidak mengganggu peluang kerja kepada warga muda.
"Itu contoh yang saya rasa perlu direalisasikan. Dalam proses kita sedang menua, ramai warga emas yang terpaksa meniti hari tua dengan sekuriti kewangan atau jumlah simpanan yang amat sedikit," katanya dalam program Fokus Minggu Depan pada Ahad.
Fokus Minggu Depan: Hari tua pasti menjelma, bersediakah kita?
Tambah beliau, industri keusahawanan dalam kalangan warga emas juga harus diperkasa bagi membantu menambah simpanan memandangkan menjelang usia memasuki era pencen, banyak komitmen yang perlu dilangsaikan.
Dalam pada itu, pelaksanaan cadangan itu juga boleh menangani isu kesepian dan keterpinggiran dalam kalangan warga emas. Hal itu perlu diambil kira kerana ia cenderung kepada masalah kesihatan mental selepas bersara kelak.
"Warga emas yang dementia itu lebih sukar diuruskan berbanding warga emas aktif. Ia merupakan satu perkara yang perlu kita sedar sebagai anggota masyarakat.
"... bahawa warga emas juga perlu terlibat secara aktif dalam masyarakat. Ini supaya mereka boleh terlibat, boleh bekerja, boleh bergerak dan perkara ini perlu digalakkan supaya mereka memiliki terus kesihatan mental yang baik. Ini membantu masyarakat secara keseluruhannya," katanya.
#keusahawanan #warga emas #pencen #bersara #Prof Madya Zumilah Zainaludin
;