Isu kelulusan warganegara: “Ini fitnah, berniat jahat” - Saifuddin
Afiezy Azaman
Mac 14, 2025 10:40 MYT
Mac 14, 2025 10:40 MYT
Saifuddin menafikan penyebaran berita palsu yang tersebar berkaitan isu kewarganegaraan dan menyifatkannya sebagai fitnah dan berniat jahat.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan penyebaran berita palsu yang tersebar berkaitan isu kewarganegaraan dan menyifatkannya sebagai fitnah dan berniat jahat.
Menteri Dalam Negeri itu menegaskan, kelulusan kewarganegaraan tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang telah lama termaktub.
Sehubungan itu, Saifuddin menolak sekeras-kerasnya dakwaan beliau pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang tersebar dalam gambar fitnah tersebut.
"Sepanjang tahun lalu, saya telah berkali-kali memberikan penjelasan mengenai isu ini.
"Namun, masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab memainkan sentimen berbaur 3R bagi mengelirukan rakyat," kata beliau dalam hantaran di akaun media sosialnya, hari ini.
Menurut beliau, tindakan menyebarkan maklumat tidak sahih bukan sahaja tidak beretika tetapi juga berpotensi menggugat keselamatan dan keharmonian negara.
"Oleh itu, saya menggesa rakyat dan pengguna media sosial agar mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih serta menyemak kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya," tambah beliau.
Dalam masa sama, Saifuddin turut mengingatkan penyebaran fitnah dan berita palsu adalah tindakan tidak bertanggungjawab serta boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Sebelum ini tular di media sosial berita palsu memaparkan gambar Saifuddin dengan dengan kapsyen 'Saya meluluskan kewarganegaraan pendatang Cina, itu hak saya rakyat tidak boleh pertikaikan, saya berkuasa bukan rakyat.'