Isu kelewatan penerbangan: AirAsia tambah pesawat menjelang Julai - Nanta

Bernama
Mei 13, 2022 08:00 MYT
Pihak KPDNHEP mengadakan pertemuan dengan AirAsia pada Khamis. - Facebook Alexander Nanta Linggi
KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan AirAsia akan menambah pesawat secara berperingkat menjelang Julai ini bagi menampung permintaan penumpang, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata komitmen itu diberikan semasa pertemuan antara pihaknya bersama AirAsia semalam yang disertai Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Datuk Kamarudin Meranun, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Riad Asmat, Ketua Setiausaha KPDNHEP Azman Mohd Yusof dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna) KPDNHEP Datin Roszanina Wahab.
Menurut Nanta, menerusi penerangan teknikal dan justifikasi rentetan isu kelewatan rangkaian penerbangan AirAsia baru-baru ini, pihak syarikat telah memaklumkan usaha mitigasi bagi mengelak kejadian tersebut berulang.
"Ia merangkumi penambahan pesawat secara berperingkat (berbanding 40 ketika ini) bagi menampung permintaan, terdekat menjelang Julai dan aduan pelanggan akan diselesaikan menerusi empat saluran AirAsia," kata Nanta menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau semalam.
BACA: AirAsia mohon maaf atas penjadualan semula penerbangan ketika hari raya
BACA: Nanta nafi dakwaan berpihak terhadap AirAsia dalam isu kelewatan penerbangan
Selain itu, Nanta berkata AirAsia Berhad (bukan AirAsia X) memberi pulangan wang kepada penumpang, tanpa sebarang isu.
Menurut Nanta, AirAsia juga bersetuju untuk memberi kerjasama berkaitan isu pengguna dan pihak kementerian akan terus mengadakan libat urus dari semasa ke semasa.
BACA: Isu kelewatan penerbangan: AirAsia akan beri penjelasan dalam 24 jam
Sebelum ini, Nanta berkata empat punca kelewatan penerbangan AirAsia disebabkan jumlah pesawat yang terhad, kekangan operasi dan kawal selia, isu teknikal yang turut terkait dengan 'pintasan burung' pada enjin pesawat serta panahan kilat terhadap pesawat selain keadaan cuaca.
-- BERNAMA
#AirAsia #Alexander Nanta Linggi #kelewatan penerbangan #tambah pesawat
;