Isu kelewatan penerbangan: AirAsia akan beri penjelasan dalam 24 jam - Alexander Nanta Linggi

Firdaus Azil
Mei 10, 2022 11:17 MYT
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, ambil maklum rungutan, aduan dan keluhan pengguna berhubung AirAsia. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengurusan syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia akan memberi maklum balas lengkap terhadap isu kelewatan penerbangan dalam tempoh 24 jam, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Dalam catatan terbaharu di laman Twitternya, Ahli Parlimen Kapit itu berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai langkah itu rentetan peningkatan aduan pengguna sejak kebelakangan ini.
Tegasnya lagi, sejak isu itu dibangkitkan, kementeriannya telah mengambil langkah proaktif untuk membuat penelitian awal dari segi kepentingan pengguna mengikut bidang kuasa kementerian dan berhubung dengan AirAsia untuk mendapatkan penjelasan.
“Tiada ‘sembang kari’, cakap tak serupa bikin, ‘siasat dan siasat’ atau sekadar berpeluk tubuh dalam isu ini.
"Kepentingan pengguna adalah amanah saya sebagai menteri KPDNHEP. Dalam masa yang sama, usaha merungkai masalah ini perlu dibuat secara teratur bagi memastikan suatu penyelesaian menyeluruh berupaya dirangka dan dilaksanakan.
“Dalam masa yang sama, usaha merungkai masalah ini perlu dibuat secara teratur bagi memastikan suatu penyelesaian menyeluruh berupaya dirangka dan dilaksanakan.
“Turut dibangkitkan kelayakan pengguna mendapatkan pampasan sekiranya mengalami kelewatan penerbangan sebegini. Bagi memudahkan pengguna, saya meminta AirAsia untuk menyediakan carta aliran mengenai proses memfailkan aduan rasmi,” katanya lagi.

Perkembangan awal isu kelewatan penerbangan #AirAsia dialami pengguna Selps mengumpulkan keluhan, rungutan dan aduan pengguna (penumpang) mengenai isu kelewatan penerbangan AirAsia, pic.twitter.com/4gtaBvwSeG

— Alexander Nanta Linggi (@AlexNantaLinggi) May 10, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Semalam Nanta memberitahu, kelewatan penerbangan AirAsia sudah dikesan berlaku sejak penghujung bulan April dan masih berlarutan hingga kini.
Sebagai menteri yang ditugaskan menjaga pengguna, Nanta berkata, beliau mengambil maklum rungutan, aduan dan keluhan disuarakan pengguna berhubung kelewatan penerbangan AirAsia membabitkan pelbagai destinasi dalam negara.
Tambahnya lagi, KPDNHEP akan terus menjalankan siasatan dari sisi kepentingan pengguna dan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi merungkai permasalahan tersebut, demi memastikan ia tidak berlanjutan dan berulang.
Selain itu, Nanta berkata, beliau turut mendesak supaya MOT dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk lebih proaktif serta tampil untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung isu tersebut.
#Alexander Nanta Linggi #AirAsia #lewat penerbangan #mavcom
;