Isu kekurangan vaksin influenza tidak dijangka
Wan Syamsul Amly
Januari 15, 2020 15:00 MYT
Januari 15, 2020 15:00 MYT
Isu kekurangan vaksin influenza tidak dijangka dan ia berlaku bukan sahaja di Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur tetapi kebanyakan hospital lain di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Tawakkal, Muhammad Badri Hussin berkata, paling penting masyarakat perlu berwaspada dan melakukan pemeriksaan berkala untuk memastikan status kesihatan sentiasa berada di tahap terbaik.
"Vaksin adalah salah satu langkah pencegahan, namun selain vaksin ada lagi langkah pencegahan lain yang saya pasti kita tahu melalui maklumat viral, website tentang langkah lain untuk elak terkena jangkitan seperti menutup muka, memakai topeng dan mencuci tangan.
"Kalau ada ahli keluarga atau sesiapa terkena influenza, kita kurangkan sikit risiko dekat dengan mereka, maknanya itu usaha hendak kurangkan kita terkena jangkitan. Influenza mudah berjangkit, ada cara lain hendak mencegah selain suntikan vaksin ini," katanya ketika ditemui di sini, pada Rabu.
Pada Selasa, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengakui, stok simpanan oleh pembekal swasta vaksin influenza telah habis pada ketika ini.
Bagaimanapun, katanya, sejumlah 99,470 dos lagi akan dibawa masuk pada bulan ini.
Dalam pada itu, kata Muhammad Badri, pihak KPJ sejak dari awal sudah menularkan pengetahuan mengenai influenza di laman sesawang dan Facebook mereka selain menasihatkan masyarakat untuk mendapatkan rawatan sekiranya terdapat simptom berkenaan pada diri sendiri atau ahli keluarga.
Menurut beliau, buat masa ni, KPJ tidak mengkhususkan wad tertentu untuk pesakit influenza kerana mempunyai banyak wad satu katil sebilik dan tidak bercampur dengan pesakit lain.
Dr Noor Hisham sebelum ini menasihati pesakit yang dijangkiti virus influenza mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan antiviral.
Beliau berkata, penggunaan ubat antiviral dapat mengurangkan simptom serta komplikasi penyakit namun ia perlu digunakan secara rasional bagi mengelakkan kerintangan antimikrobial yang menyebabkan rawatan tidak berkesan.