Isu kekurangan profesional autisme akan diusulkan ke Kementerian Pendidikan - Nancy

Bernama
Jun 15, 2024 17:45 MYT
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menerima lukisan daripada kanak-kanak autisme pada perasmian pada majlis 'Autism Empowerment Weekend' di Museum Budaya Borneo hari ini. - Foto Bernama
KUCHING: Isu kekurangan ahli profesional bertauliah dalam mengendalikan program untuk individu berkeperluan khas, khususnya autisme, akan diusulkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata kementeriannya akan berbincang serta memberikan saranan yang berkaitan kepada KPM agar permasalahan tersebut dapat diusul ke kabinet untuk diambil tindakan.
"KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) sentiasa mengambil ruang untuk menyuarakan (isu berkenaan), bukan sahaja permasalahan di Sarawak malah seluruh negara, kita memerlukan agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan untuk bersama mengadakan program kesedaran autisme.
"Dari segi itu kita dapat melihat keperluan untuk negara dan pada masa yang sama kita (kerajaan) dapat merancang, membantu mengikut spektrum tertentu. KPWKM dapat membantu dari segi geran, kalau ada ahli profesional atau swasta yang hendak menjalankan aktiviti bagi menganjur program intervensi," katanya selepas perasmian program Minggu Pemerkasaan Autisme 2024 anjuran Pusat Terapi Let'z Play di sini, hari ini.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Nancy berkata autisme merupakan satu kelainan keupayaan yang berlaku pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak disebabkan oleh kelainan pada saraf otak yang mempengaruhi komunikasi, interaksi sosial serta tingkah laku individu.
"Kajian telah membuktikan bahawa intervensi awal boleh membantu pembelajaran, kemahiran sosial dan emosi dalam kalangan individu autisme.
"Mereka dapat meneruskan kehidupan berdikari sekiranya diberi bimbingan, sokongan serta berpeluang mendapat pendidikan serta kemahiran yang baik dan peluang untuk bekerja secara produktif," katanya.
Minggu Pemerkasaan Autisme yang berlangsung selama dua hari sehingga esok di Muzium Budaya Borneo di sini, memberi peluang kepada ibu bapa, penjaga dan masyarakat untuk mengenali lebih mendalami mengenai autisme.
Pengunjung juga boleh mengetahui diagnosis yang tepat, cara mengendali, kepentingan mendaftarkan anak autisme dan mengenal pasti hala tuju kumpulan sokongan bagi memperkasakan golongan itu di Sarawak menerusi program itu.
-- BERNAMA
#kekurangan ahli profesional bertauliah #ndividu berkeperluan khas #Autisme #Nancy Shukri #Kementerian Pendidikan
;