Isu kekurangan gula selesai selewat-lewatnya hujung bulan ini - Salahuddin
Amirrul Rabbani
Jun 17, 2023 13:58 MYT
Jun 17, 2023 13:58 MYT
LUMUT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjangkakan isu kekurangan bekalan gula di pasaran akan selesai selewat-lewatnya hujung bulan ini.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata hasil pertemuan dengan pihak industri baru-baru ini, mereka memberi jaminan untuk mencukupkan bekalan bahan makanan itu di pasaran dalam tempoh terdekat.
“Para pengusaha ini telah berterus terang (dalam hal pengurangan gula) dan berjanji supaya dalam seminggu ini untuk mencukupkan bekalan gula bertapis dan halus atau ‘gula rakyat’ ini di pasaran.
“Namun hasil pemerhatian saya (di pasar-pasar raya) memang berlaku kekurangan gula, akan tetapi bukan tidak ada langsung bekalannya. Dan kita harap ia dapat diselesaikan sebelum berakhirnya Ops Manis iaitu pada 30 Jun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika melakukan lawatan kerja dan pemantauan di sebuah kilang pembungkusan minyak masak di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail.
Sebelum ini KPDN mengumumkan Ops Manis 2.0 diteruskan sehingga 30 Jun ke seluruh negara selepas operasi sama tamat pada 4 Jun lalu.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata pengurangan bekalan gula di pasaran seluruh negara mula dikesan selepas Hari Raya Aidilfitri pada April.
Selain itu katanya alasan yang diberi pengeluar berhubung pengurangan bekalan bahan makanan itu di pasaran ialah disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan kilang yang sedang berjalan.
“Ada beberapa kilang yang sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan misalnya ada yang sedang mendapatkan dandang baharu, jadi proses itu telah mengambil sedikit masa (menjejaskan proses pengeluaran gula),” katanya lagi.
Walau bagaimanapun tambah Salahuddin, pihaknya akan melakukan pelbagai siri libat urus dengan pemain industri supaya bekalan gula dapat memenuhi keperluan rakyat iaitu 42,000 tan metrik sebulan.
Sementara itu beliau berkata bekalan minyak masak paket bersubsidi dan telur ayam bagi gred A, B, C Dan D mencukupi serta mudah diperoleh di pasaran.