Isu kekurangan bekalan makanan: Petani harus dibangunkan secara berkelompok
Israr Khalid
Mei 23, 2022 06:00 MYT
Mei 23, 2022 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Isu kekurangan bekalan makanan disebabkan krisis rantaian global boleh diatasi dengan menggalakkan penghasilan sendiri tanaman dan ternakan yang terlibat untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil import.
Bagaimanapun menurut usahawan tani dan pengasas Grasicili, Munir Ashim Abdullah, usaha tersebut tidak boleh dibuat secara bersendirian sebaliknya secara berkelompok dalam skala yang besar.
“Kita perlu kumpulkan mereka secara kluster atau berkumpulan untuk bertani dan perkara ini memerlukan intervensi atau satu model bisnes yang menyeluruh.
“Bukan kita bantu seorang tanam dua, tiga pokok atau berkebun di belakang rumah kerana ia takkan menyelesaikan masalah tersebut secara keseluruhan," katanya.
Jelasnya, bercucuk tanam secara bersendirian memerlukan kos pengoperasian yang lebih tinggi berbanding dengan menanam dalam skala yang besar, maka perlunya koordinasi untuk menggerakkan usaha secara berkelompok.
Maka ujar Munir, pihak bertanggungjawab boleh memainkan peranan dengan membangunkan dan mengumpulkan para petani secara bersegmen dan setiap segmen perlu diberikan tumpuan.
“Bukan kepada satu atau dua orang tetapi perhatian kepada satu kelompok petani supaya kos membangunkan mereka jadi lebih rendah.”
Tonton temu bual penuh bersama beliau dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini: