Isu kekuatan ekonomi akan jadi tumpuan khusus kerajaan pada 2024 - PM
Astro Awani
Disember 23, 2023 16:12 MYT
Disember 23, 2023 16:12 MYT
PUTRAJAYA: Isu kekuatan ekonomi termasuk pelaburan luar dan dalam negeri akan menjadi tumpuan sepenuhnya Kerajaan Perpaduan pada tahun 2024
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, kestabilan politik negara yang ada ketika ini memudahkan kerajaan memberi tumpuan kepada isu ekonomi.
Menurut beliau, isu peningkatan penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris juga akan menjadi tumpuan tahun hadapan.
"Keutamaan kita untuk 2024 ini tentunya ekonomi, ekonomi, ekonomi, dan beberapa perubahan dan anjakan yang seharusnya tegas.
"Bukan saja dari segi seperti mana kita sebut peralihan tenaga atau digital tranformation, tetapi yang memerlukan anjakan paradigma yang cukup kuat.
"Ini termasuklah apa yang saya bicarakan tentang penguasaan Bahasa Melayu yang mantap yang tidak harus dipersoal dan keutamaan yang diberikan kepada Bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan mulai tahun hadapan.
"Kerana kalau kita biarkan keadaan ini berterusan penguasaan Bahasa Melayu mungkin dapat kita pertahankan walaupun tidak ditingkat tinggi tetapi penguasaan Bahasa Inggeris kian terhakis.
"Jadi ini harus kita betulkan melalui sistem pendidikan dan kita akan lakukan dengan tegas," katanya ketika berucap pada sesi bersama ketua pengarang media cetak, elektronik dan atas talian di Sri Perdana pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan, beliau turut telah mengarahkan agar beberapa masalah seperti soal kecepatan kelulusan diselesaikan segera.
Beliau berkata, perkara tersebut merupakan antara yang sering dibangkitkan dalam pertemuan dengan syarikat-syarikat antarabangsa.
"Saya sangat berkeyakinan tetapi ia masih bergantung kepada tahap kesediaan kita untuk menyelesaikan masalah ini dan tentang masalah kestabilan politik telah selesai, insya-Allah," katanya lagi.
Anwar juga menegaskan beliau akan terus berusaha memastikan isu kemiskinan melibatkan semua kaum di negara ini diselesaikan.
Jelas beliau, tidak ada mana-mana kaum akan dipinggirkan dalam usaha pentadbirannya menoktahkan kemiskinan.