Isu kecekapan orang muda tidak akan timbul, jentera Johor sudah sedia cekap- Exco Agama Johor

Rahimah Abdullah
Mac 28, 2022 19:47 MYT
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid melihat isu kecekapan pemimpin muda tidak menjadi masalah kerana jentera negeri sudah sedia cekap. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Exco kerajaan negeri Johor kalangan orang muda yang baharu dilantik akan saling melengkapi dan memberi idea baharu bagi menambah baik kecekapan pentabiran negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid melihat isu kecekapan pemimpin muda itu tidak menjadi masalah kerana jentera negeri sudah sedia cekap.
"Kami sebagai antara muka baharu dalam kerajaan negeri Johor mengambil ini sebagai titah (Sultan) yang sangat bermakna. Maksudnya, kami tidak rasa canggung kerana semua jentera sudah dibarisi oleh penjawat-penjawat awam yang kekal dalam barisan pentadbiran.
"Kami sebagai muka baharu akan dibantu dan dinasihat oleh seluruh penjawat awam di Johor ini. Dengan nasihat Sultan, isu kecekapan tidak akan timbul sebab jentera negeri Johor ini sudah sedia cekap. Kami akan sama-sama melengkapi dan memberi idea baharu bagi menambahbaik kecekapan dalam kerajaan negeri Johor itu sendiri," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.
Beliau juga berjanji untuk tidak menoleh ke belakang dan bersama-sama jentera negeri Johor untuk bekerja untuk rakyat.
"Soal kecekapan ini sangat subjektif dan ia perlu dibuktikan secara cepat walaupun kita muda. Bahkan Sultan ada menyebut selepas majlis angkat sumpah exco bahawa masa untuk bekerja telah tiba dan tidak ada masa untuk menoleh ke belakang," ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kehadirannya ke pejabat pada hari pertama bertugas sebagai Exco kerajaan negeri Johor disambut baik kakitangan yang berusia serta berpengalaman.
Malah, rata-rata orang yang lebih berusia daripadanya memberikan kata-kata semangat dan menghormati beliau sebagai Exco kerajaan negeri Johor yang baharu.
Justeru, beliau sangat menghargai kesantunan dan layanan sama rata oleh mereka sudah berada lama dalam kerajaan negeri Johor walaupun terhadap orang yang lebih muda.
"Saya mengambil contoh diri saya sendiri. Saya di bawah (portfolio) Hal Ehwal Agama Islam Johor, dan semalam saya sudah memulakan hari pertama saya di pejabat.
"Semua peringkat dalam jabatan menyambut saya dengan sangat baik. Bahkan, kebanyakan mereka adalah pentadbir yang sangat berpengalaman dan berusia, namun menghormati saya sebagai Exco kerajaan negeri yang baharu dan memberi semangat kepada saya," tambah beliau lagi.
Antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) peribadi dalam 100 hari menjadi Exco kerajaan negeri, ialah menyantuni setiap dasar dan polisi yang telah ditetapkan oleh portfolio yang telah diperkenan oleh Sultan Johor.
Selain itu, beliau juga akan memastikan setiap portfolio itu dilaksanakan dan sampai kepada pihak wajar menerima bantuan.
Dalam pada itu katanya, kelompok muda akan menjadi pertimbangan penting dalam setiap bantuan diberikan.
"Saya sangat mengambil berat bahawa setiap bantuan yang sampai, dan setiap tanggungjawab yang diberikan kepada penerimanya tanpa kuota tertentu. Sebaliknya, diberikan berdasarkan merit dan kelayakan.
"Saya kira ini antara kesungguhan saya yang mana boleh boleh diterima penjawat awam di Johor ini, dan saya kira semua manifesto dan KPI yang baik boleh dilaksanakan dalam 100 hari ini," katanya.
Beliau juga sangat gembira kerana diberi tanggungjawab mengetuai portfolio berkenaan yang biasanya dipangku oleh mereka yang lebih berusia sebelum ini.
"Hal Ehwal Agama Islam ini adalah cara hidup Melayu dan Islam dalam Johor khasnya. Ia mencakupi semua. Dalam Majlis Agama Islam, juga ada keusahawanan, di bawahnya ada sektor pendidikan, kesihatan, kebajikan untuk wanita dan anak-anak kecil.
"Saya akan pastikan tidak ada pihak yang tertinggal dan saya juga ingin utamakan penglibatan orang muda dalam portfolio saya yang sebenarnya portfolio ini sangat progresif, dan terbuka dengan corak kehidupan kita," kata beliau.
Mohd Fared adalah antara 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan Exco di hadapan Sultan Ibrahim Iskandar di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene.
70 peratus daripada Exco kerajaan negeri Johor yang mengangkat sumpah adalah golongan muda berusia bawah 40 tahun.
#Mohd Fared Mohd Khalid #Exco #Negeri Johor #muda
;