Isu kawal selia peremitan wang ke luar negara antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Astro Awani
Mac 9, 2022 01:10 MYT
Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Isu kawalan selia peremitan wang ke luar negara khususnya oleh pekerja asing dan pelaksanaan ‘e-Testing’ bagi mengambil ujian lesen memandu merupakan antara persoalan yang memerlukan jawapan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut aturan urusan mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan mengenai mekanisme kawalan peremitan wang ke keluar negara yang mencecah RM40 bilion setiap tahun itu akan diajukan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali kepada Menteri Kewangan semasa sesi soal jawab.
Sementara itu, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke akan mengemukakan pertanyaan kepada Menteri Pengangkutan berhubung bilakah ‘e-Testing’ dapat dilaksanakan sepenuhnya untuk semua proses ujian lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta syarikat pembekal teknologi mana yang terpilih.
Turut tersenarai ialah soalan dari Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad yang meminta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan apakah usaha baharu untuk mengurangkan kebergantungan beras import untuk penggunaan negara.
Menteri berkenaan juga perlu menjawab soalan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman yang mahu tahu langkah kementerian untuk mempertimbangkan imbuhan atau pampasan kepada negeri-negeri yang menjadi pengeluar utama padi negara.
Ia memandangkan negeri terbabit telah mengalami kos lepas perolehan hasil negeri dalam bentuk percukaian serta tanah di negeri terlibat tidak dapat dibangunkan dengan pembangunan komersial seperti negeri-negeri lain.
Selain itu, turut menuntut penjelasan ialah Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir yang meminta Menteri Tenaga dan Sumber Asli menyatakan usaha kementerian mengawal pembalakan di Pahang daripada menjadi bencana seperti hujung tahun lepas.
Selesai sesi itu, ahli Dewan Rakyat akan mengambil bahagian menyambung semula sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja.
Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini.
#Dewan Rakyat #peremitan wang #e-testing #beras import