Isu kaum dan agama ancam perpaduan, perlu segera dibendung, titah Sutan Nazrin
Bernama
November 9, 2024 11:20 MYT
November 9, 2024 11:20 MYT
KUALA KANGSAR: Isu agama dan kaum yang terus dijadikan bahan untuk berpolitik yang mengancam perpaduan rakyat negara ini perlu segera dibendung, demikian titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Sultan Nazrin bertitah, apabila agama dan kaum dijadikan ‘mata wang yang sah’ untuk meraih laba politik, retorik-retorik atas nama agama yang keterlaluan dan slogan-slogan atas nama kaum yang bersifat provokatif, semakin dicetuskan.
“Retorik dan slogan sedemikian, laksana bara yang semakin menyalakan puntung – menyalakan unggun, jika tidak segera dibendung, akan menyemarakkan api permusuhan yang boleh memusnahkan negara,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berangkat ke Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-68 Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan di Istana Iskandariah, di sini, hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, isu agama dan kaum yang terus dicetuskan juga dibimbangi akan menyemai prasangka dan curiga dalam kalangan rakyat dan kelihatan semakin hilang arah untuk menemui titik penyatuan.
Justeru titah baginda, negara ketika ini memerlukan kebijaksanaan dan hikmah pimpinan yang membolehkan rakyat berasa senang dan selesa, tidak memiliki prasangka sebaliknya berminda terbuka menghargai kepelbagaian kaum di negara ini.
Sultan Nazrin bertitah, di samping isu agama dan kaum yang disensasikan, semakin didengari suara-suara yang tanpa segan silu mempersendakan institusi raja.
Titah baginda kebelakangan ini, perbuatan mahu mengetepikan adab dan memijak adat semakin dipelopori dalam kalangan buta huruf terhadap sejarah negara, cetek tentang tamadun bangsa dan berminda budaya pelarian serta tidak ada akar budaya.
“Sesungguhnya raja pemerintah itu di samping berperanan penting untuk memenuhi tanggungjawab pemerintahan menurut dalam Perlembagaan Negara, turut berperanan utama menghubungkan tradisi dengan modenisasi, menghidupkan kekayaan sejarah dan keagungan tamadun bangsa yang telah dibina melalui amalan budaya yang penuh adab lagi beradat, kehalusan budi dan keindahan bahasa.
“Lalu dijadikan asas untuk membangunkan negara bangsa yang berdisiplin, maju, moden lagi progresif. Hal ini menjadi amat relevan, bertambah relevan, malah semakin relevan, ketika masyarakat kita sedang berhadapan dengan pelbagai perbuatan subversif budaya dan sabotaj budaya.
“Terlalu berharga untuk tamadun yang telah dibina, dibenarkan untuk dimusnahkan kerana perbuatan yang dicetuskan oleh individu dan organisasi yang longgar pegangan adat dan kosong fahaman adabnya; cerdiknya tidak boleh diikut dan dungunya tidak boleh diajar, tetapi bernafsu besar untuk memperkenalkan tatacara baharu, bersuara dan berkelakuan sumbang tidak bertempat, mempromosikan tingkah dan laku yang sangat bercanggah dengan kesopanan adat dan kehalusan adab,” titah Sultan Nazrin.
Sehubungan itu, baginda bertitah rakyat perlu disedarkan untuk menolak perbuatan pencerobohan budaya serta tingkah dan laku yang melanggar sempadan adab dan adat, tidak boleh dibenarkan menjadi warga yang turut tidak bertamadun, miskin adab - papa adat. - BERNAMA