Isu kasino Forest City: Polis rekod keterangan petugas portal bahasa Inggeris
Sinar Harian
Mei 6, 2024 15:36 MYT
Mei 6, 2024 15:36 MYT
KUALA LUMPUR: Polis merakam keterangan seorang petugas media sebuah portal berbahasa Inggeris bagi membantu siasatan berhubung penerbitan artikel mengenai kasino di Forest City, pada Isnin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, individu terbabit hadir memberi keterangan pada jam 8.30 pagi iaitu diawalkan berbanding waktu asal yang ditetapkan pada jam 11 pagi.
"Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman merakam keterangan individu, kita juga akan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan," katanya kepada media ketika lawatannya di pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di sini pada Isnin.
Pada Jumaat lalu, Razarudin memaklumkan siasatan dijalankan susulan satu laporan yang dibuat peguam ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan berhubung artikel berunsur fitnah bertajuk 'Malaysia Mulls Casino at Forest City: Bloomberg'.
Siasatan dilakukan selepas artikel itu didakwa mengandungi pernyataan palsu, tidak benar, tidak beralasan dan tidak disahkan.
Justeru, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Terdahulu, beberapa pihak menggesa kerajaan supaya menyaman dua agensi media asing berhubung laporan penerbitan artikel berniat jahat mengenai perancangan pembangunan kasino di Forest City.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Berjaya dan Genting Malaysia turut menafikan laporan Bloomberg berhubung perancangan pembinaan kasino di Forest City.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#kasino di Forest City
#Razarudin Husain
#petugas media sebuah portal berbahasa Inggeris
#diambil keterangan
#Anwar Ibrahim
#laporan Bloomberg